KUALA LUMPUR – Datuk Awang Solahuddin Hashim (PN-Pendang) diarahkan keluar dan digantung dari Dewan Rakyat selama 10 hari kerana didakwa menghina Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.
Tan Sri Johari memberitahu dewan bahawa Datuk Awang Solahuddin Hashim telah mengeluarkan dakwaan negatif melalui aplikasi TikTok bertarikh 18 Julai 2024 dah tidak menarik balik atau melakukan permohonan maaf.
Awang Solahuddin melakukan dua kesalahan iaitu tuduhannya terhadap pegawai pemimpin DAP yang dikatakan menyimpan wang berjumlah RM97 juta di rumah susulan penemuan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan tuduhannya terhadap Johari menerusi aplikasi TikTok.
“Saya sudah kemukakan surat kepada Pendang pada 22 Julai lalu untuk tarik balik ucapan terbabit dan buat permohonan maaf tetapi sehingga hari ini belum ada tindakan dibuat.
“Tindakan Pendang adalah menghina Yang Dipertua Dewan Rakyat yang dipilih dan diamanah menjalankan tanggungjawab berdasarkan peraturan Dewan Rakyat.
“Memandangkan YB (Awang Solahuddin) tidak menarik balik dan memohon maaf kepada saya sebagai Speaker, maka saya perintahkan YB keluar dari dewan ini untuk tempoh 10 hari berdasarkan Peraturan 44 (2),” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Selain itu Johari berkata beliau juga telah menghantar surat, melalui Setiausaha Dewan Rakyat dan Ketua Whip Pembangkang namun tidak mendapat reaksi balas.
“Saya nak baca perkataan demi perkataan, apa yang Pendang katakan di luar (menerusi TikTok).
“Kezaliman berlaku dalam Parlimen. Parlimen sekarang dikuasai Tan Sri Speaker yang melakukan kezaliman bermula dengan Pendang kemudian Machang dan seterusnya (akan terus berlaku ) jika tidak dihalang daripada sekarang.
“Saya nak jelaskan, ketika Pendang dihalau (keluar Dewan), ia adalah arahan Timbalan Speaker, yang kaitkan dengan saya kenapa? Sebab itu saya minta supaya minta maaf tapi dia tak buat sehingga hari ini,” katanya.
Dewan Rakyat gamat seketika apabila beberapa Ahli Parlimen pembangkang dilihat berdiri dan membuat bantahan keputusan berkenaan, antaranya Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran), Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) dan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang).