Inisiatif Program Jualan #Keluarga Malaysia Dapat Reaksi Positif Di Seluruh Negara

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Inisiatif dilaksanakan kerajaan dengan menganjurkan program Jualan #Keluarga Malaysia di semua 222 kawasan Parlimen yang menawarkan harga lebih rendah daripada pasaran terus mendapat reaksi positif daripada rakyat.

Program Jualan #Keluarga Malaysia yang bermula semalam disifatkan kebanyakan rakyat sebagai usaha yang baik bagi membantu mereka yang terkesan susulan kenaikan harga barang ketika ini, selain membantu menjimatkan perbelanjaan.

Di PULAU PINANG, seorang jurujual barangan kelengkapan rumah, Tan Teoh Joo, 47, ketika ditemui pada program berkenaan yang diadakan di Parlimen Kepala Batas berkata harga ayam, daging lembu, telur ayam yang ditawarkan adalah munasabah dan mesra rakyat, sekali gus dapat membantu menjimatkan perbelanjaan isi rumah.

Peniaga ulam yang juga Orang Kurang Upaya (OKU) Ishak Hussin, 70, pula mengharapkan agar ia dapat dilaksanakan setiap minggu berbanding dua kali sebulan bagi membantu meringankan beban kumpulan B40.

“Kalau boleh buat setiap minggu sebab harga barang sekarang makin naik. (Kerajaan) dapat bantu rakyat, rakyat pun suka lebih-lebih lagi golongan B40 termasuk OKU macam saya,” katanya.

Di KEDAH, peniaga kedai makan, Siti Doyah Din, 57, memanfaatkan peluang yang ada dengan berbelanja di program berkenaan yang diadakan di Padang Awam Desa Keda, Pokok Sena bagi menjimatkan kos operasi perniagaan.

“Saya (hadir untuk) membeli barangan untuk dibuat stok seperti cili merah yang dijual RM13 sekilogram berbanding RM20 sekilogram di tempat lain dan beberapa jenis sayuran yang juga murah yang kita tahu harganya makin meningkat.

“Saya datang sini pun saya dah mampu berjimat antara 20 hingga 30 peratus dan saya berharap program seumpama ini dapat diteruskan demi membantu rakyat yang dibebani kenaikan kos sara hidup buat masa ini,” katanya.

Seorang suri rumah, Siti Fatimah Osman, 42, pula berharap lebih ramai peniaga dan pemborong menyertai program berkenaan sekali gus dapat memberi lebih banyak pilihan barangan berkualiti dan lebih murah kepada pengguna.

Di MELAKA, pembantu kedai dobi, Noorisah Ramli, 32, mencadangkan supaya lebih banyak pilihan produk perlu dijual pada program itu untuk dinikmati pengguna.

“Kebanyakan barangan yang dijual pada program hari ini saya lihat terdiri daripada keperluan asas seperti minyak paket, roti, beras, bihun, telur, ayam dan sayur-sayuran… mungkin pada masa akan datang lebih banyak produk lain dijual untuk memberi pilihan kepada pengguna,” katanya.

Bagi kakitangan sebuah kolej di Masjid Tanah, Mustafa Jaahafar, 58, beliau tidak melepaskan peluang dengan hadir awal ke program berkenaan bagi mendapatkan barang keperluan asas pada harga yang murah.

“Alhamdulillah, harga barangan yang dijual di program ini lebih murah berbanding di pasar atau di kedai runcit yang biasa saya beli dan hari ini saya dapat jimatkan sedikit belanja dapur. Agak berbaloi berbelanja di sini dan saya harap ia dapat diteruskan pada masa akan datang untuk membantu rakyat yang kurang berkemampuan,” katanya.

Di NEGERI SEMBILAN, Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad ketika ditemui pada program yang berlangsung di Seremban memberi jaminan bekalan minyak masak paket mencukupi bagi menampung permintaan pengguna.

“Kami telah melantik pengedar dan pengilang di seluruh negara mengikut kuota ditetapkan bagi menampung keperluan setiap penduduk cuma ada masa berlaku sedikit gangguan lebih-lebih lagi dalam tempoh pandemik COVID-19.

“Kadangkala kilang terpaksa menutup operasi berikutan kes COVID-19 membabitkan pekerja, pengedar tetapi semua ini hanya bersifat sementara,” katanya.

Pada Khamis lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bahawa kerajaan akan menganjurkan program Jualan #Keluarga Malaysia di semua 222 kawasan Parlimen secara serentak bermula hari ini sebagai antara usaha meringankan beban rakyat susulan kenaikan harga barang ketika ini.

Menurut perdana menteri pada peringkat permulaan, program itu yang menawarkan barangan keperluan harian pada harga murah antara 20 dan 50 peratus disasar diadakan dua kali setiap bulan memfokuskan kepada kawasan ramai penduduk daripada golongan B40 dan M40. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat