SPR Tak Usah Mengada Perketat SOP Kalahkan KKM – Lim Kit Siang

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dingatkan tidak bertindak secara berlebihan mengalahkan Kementerian Kesihatan (KKM) dalam merangka prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka,” kata Lim Kit Siang.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata, SOP tersebut jika sudah ditetapkan tidak boleh disalah guna.

Sebaliknya, kata veteran DAP itu lagi, SPR perlu memastikan wujud keseimbangan antara mengadakan pilihan raya yang bebas, adil dan bersih dan mengelakkan penularan wabak berkenaan.

“Tiada sebab untuk Kementerian Kesihatan dan SPR mengenakan larangan menyeluruh terhadap proses kempen secara fizikal dengan syarat SOP Covid-19 untuk mengekang penularan dipatuhi sepenuhnya.

“Kita perlu hidup dengan COVID-19 dalam tempoh peralihan antara fasa pandemik kepada fasa endemik, tetapi perkara ini tidak bermakna SPR boleh mengambil tindakan melampau dengan melaksanakan larangan menyeluruh kepada proses berkempen dan membenarkan pilihan raya yang tidak telus dan adil berlangsung.

“Adalah menjadi tanggungjawab SPR memastikan terdapat kadar keluar mengundi yang tertinggi dalam PRN Melaka dan Sarawak nanti sambil memastikan SOP Covid-19 yang ada mengekang penularan wabak ini,” katanya pada Jumaat.

Rabu lalu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan supaya proklamasi darurat negeri Sarawak ditamatkan.

Dengan penamatan darurat, ia akan membuka jalan supaya pilihan raya negeri dapat diadakan dalam tempoh tempoh 60 hari daripada tarikh hari tersebut.

Dalam pada itu, beliau turut menyarankan supaya Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengenai Kesihatan, Sains, dan Inovasi memanggil SPR menjelaskan bagaimana keseimbangan dapat dicapai oleh badan tersebut dalam memastikan terdapatnya pilihan raya yang bersih, adil, dan bebas di kedua-dua negeri berkenaan.

“Pada masa yang sama ia bertujuan mengekang penularan wabak Covid-19 semasa negara kita sedang beralih daripada fasa pandemik kepada fasa endemik,” katanya