Lepas tanpa bebas diberi begitu santai – Hassan luah kecewa dalam Sajak DNAA

- Advertisement -

KUALA LUMPUR- Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, membangkitkan pelbagai ‘persoalan’ mengenai keputusan Mahkamah Tinggi melepas tanpa membebaskan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, semalam menerusi puisi bertajuk ‘Sajak DNAA’.

Menerusi puisi yang dimuat naik di Facebook rasminya, Hassan yang juga bekas Pengerusi PKR Johor itu, seakan meluah kekecewaan berhubung keputusan berkenaan.

Beliau antara lain mempersoalkan perundangan negara hari ini yang didakwa mengamalkan ‘sistem dua darjat’.

“Keputusan dilepas tanpa dibebas diberi begitu mudah saja. Begitu santai santai kelihatannya. Lalu aku bertanya di manakah kedaulatan undang-undang yang ada?

“Yang kerap diulang sebut di bulan kemerdekaan ini. Jangan murka bila aku menyoal lagi benarkah Perlembagaan negaraku ini luhur? Tiada dua darjat dalam tafsiran hukum? Satu untuk rakyat jelata. Satu lagi untuk mereka dari elit berkuasa?” katanya menerusi bait puisi itu.

Semalam, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas tanpa membebaskan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 tuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi yang diasaskannya.

Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah, dalam keputusannya, berkata pendakwaan melalui Peguam Negara menjalankan kuasanya mengikut Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 254 Kanun Prosedur Jenayah (CPC) dan memohon DNAA.

Tindakan itu diambil oleh pihak pendakwaan ketika prosiding bela diri berlangsung dengan 15 saksi pembelaan sudah memberi keterangan.

Hassan yang sebelum ini pernah mengkritik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berhubung pembentukan Kerajaan Perpaduan turut mengaitkan keputusan itu bertentangan slogan ‘reformasi’ yang dilaungkan kerajaan hari ini.

“Kita hari hari bercakap basmi korupsi. Kita berdiri di tahap moral yang tinggi. Bebas dari rasuah, tegakkan integriti, kita melaungkan slogan reformasi. Tetapi bolehkah rakyat percaya semua ini sekarang?

“Prima facie telah terbukti, Tiba-tiba hari ini pertuduhan korupsi digugurkan. DNAA dihadiahkan,” katanya lagi dalam puisi berkenaan.

Berikut adalah sajak yang dinukilkan Hassan.

SAJAK DNAA

Mengapa begini yang terjadi?

Kita hari hari bercakap basmi korupsi

Kita berdiri di tahap moral yang tinggi

Bebas dari rasuah

Tegakkan intergriti

Kita melaungkan slogan reformasi

Tetapi bolehkah rakyat percaya semua ini sekarang?

Prima facie telah terbukti

Tiba tiba hari ini pertuduhan korupsi digugurkan

DNAA dihadiahkan

Keputusan dilepas tanpa dibebas

diberi begitu begitu mudah saja

Begitu santai santai kelihatannya

Lalu aku bertanya di manakah kedaulatan undang undang yang ada?

Yang kerap diulang sebut di bulan kemerdekaan ini

Jangan murka bila aku menyoal lagi

Benarkah Perlembagaan negaraku ini luhur?

Tiada dua darjat dalam tafsiran hukum?

Satu untuk rakyat jelata

Satu lagi untuk mereka dari elit berkuasa?

Tiada hari yang aku berasa sedih seperti hari ini

Terasa kosong dan sia sia belaka

perjuangan yang aku anggap mulia selama ini

Kini aku persoalkan semula

Tetapi inilah yang terjadi

Orang yang rasuah dan pecah amanah

Boleh lepas dari hukum

Secara mudah mudah sahaja

Isyarat apa pemerintah hari ini ingin beritahu kepada dunia?

Hassan Abdul Karim

Pasir Gudang

04 September 2023

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat