PN Terima PEJUANG, Parti Cinta Malaysia sebagai Ahli Baharu

KUALA LUMPUR,– Perikatan Nasional (PN) bersetuju menerima Parti Pejuang Tanahair (PEJUANG) dan Parti Cinta Malaysia (PCM) sebagai parti anggota baharu gabungan itu, menurut keputusan Mesyuarat Majlis Tertinggi PN yang diadakan pada Isnin.

Dalam kenyataan yang ditandatangani Pengerusi PN, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, mesyuarat tersebut meluluskan permohonan kedua-dua parti berkenaan untuk menyertai PN sebagai parti anggota baharu.

Kemasukan dua parti itu dilihat mengukuhkan kedudukan PN menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

PEJUANG kini dipimpin Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, manakala PCM pula sedang melalui proses penjenamaan semula sebagai Parti Wawasan Negara selepas mesyuarat khas parti itu meluluskan pertukaran nama dan pembentukan kepimpinan baharu.

Sebelum ini, Hamzah Zainudin telah dilantik sebagai Presiden Parti Wawasan Negara, menjadikan penyertaan PCM ke dalam PN sebagai laluan rasmi kem politik beliau menyertai gabungan pembangkang tersebut.

Selain meluluskan kemasukan dua parti berkenaan, Majlis Tertinggi PN turut bersetuju memuktamadkan agihan kerusi bagi PRN Johor melalui Jawatankuasa Rundingan Kerusi dalam tempoh segera.

Bagaimanapun, kenyataan itu tidak memperincikan jumlah kerusi yang akan diperuntukkan kepada setiap parti anggota termasuk PEJUANG dan Parti Wawasan Negara.

Keputusan tersebut hadir ketika PN sedang menyusun semula kekuatan politiknya susulan perubahan landskap pembangkang kebelakangan ini. Kemasukan PEJUANG dan Parti Wawasan Negara dijangka memperluaskan rangkaian sokongan gabungan itu menjelang beberapa pilihan raya yang bakal dihadapi.

Ahmad Samsuri dalam kenyataannya berkata keputusan berkenaan dicapai dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi PN yang berlangsung pada 22 Jun 2026, sambil menegaskan rundingan kerusi akan dipercepatkan bagi memastikan persiapan menghadapi PRN Johor berjalan lancar.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat