Oleh Zihan Zari
BANGI – Pengarah Institut Islam Hadhari, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dato’ Dr. Fariza Md Sham, FASc telah dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa (TNC HEAA) UKM yang baharu berkuat kuasa 15 Jun 2026 bagi tempoh dua tahun.
UKM dalam kenyataan memaklumkan Dr. Fariza merupakan TNC HEAA wanita pertama di UKM yang dilantik ke jawatan itu bagi menggantikan Profesor Dr. Abdul Halim Abdul Gafor yang telah tamat tempoh perkhidmatannya sebagai TNC HEAA.
Naib Canselor UKM, Prof. Dato’ Dr. Sufian Jusoh berkata pelantikan Dr. Fariza mampu memperkasa hubungan akademik dan kerjasama strategik antara UKM dengan institusi antarabangsa.
“Pelantikan ini akan memupuk kerjasama yang lebih erat dengan institusi luar negara melalui hubungan strategik dan jaringan akademik yang mampan, di samping memastikan kualiti aktiviti pengantarabangsaan universiti terus dipantau dan dipertingkatkan.
“Ia juga selaras dengan aspirasi UKM untuk mencapai kualiti pendidikan bertaraf dunia serta memperluas agenda pengantarabangsaan universiti,”katanya.
Dalam perkembangan sama, Dr. Fariza merupakan seorang profesor wanita yang aktif dan berpengaruh dalam bidang Psikologi Dakwah Remaja dan Psikologi Islam, selain itu beliau antara pelopor utama dalam kedua-dua bidang tersebut dan telah memberikan sumbangan yang signifikan kepada pembangunan ilmu serta penyelidikan berkaitan.
Atas kecemerlangan dan sumbangan ilmiah, Dr. Fariza telah diiktiraf sebagai Felo Akademi Sains Malaysia, iaitu pengiktirafan berprestij yang mencerminkan sumbangan beliau yang luar biasa dalam bidang Pengajian Islam, Tamadun Islam, Dakwah dan Psikologi Islam serta menjadi pakar rujuk di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Kepakaran serta sumbangannya di Jabatan Dakwah dan Kepimpinan, Fakulti Pengajian Islam UKM, turut mendapat pengiktirafan global apabila beliau dilantik sebagai Duta Pendidikan Uzbekistan ke Malaysia.
Selain itu, Dr. Fariza turut memegang beberapa jawatan akademik antarabangsa sebagai Profesor Pelawat di Universiti Islam Sultan Ahmad Shah, Pahang (kini Universiti Al-Quran Al-Sultan Abdullah Ahmad Shah, Pahang – UNIQSAAS); Tashkent State University of Oriental Studies, Uzbekistan; International Islamic Academy of Uzbekistan; dan Silk Road International University of Tourism and Cultural Heritage, Uzbekistan.
Dr. Fariza memperoleh Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam (Dakwah dan Kepimpinan) dari UKM pada tahun 1994, diikuti Ijazah Sarjana Pengajian Islam (Dakwah dan Kepimpinan) dari universiti yang sama pada tahun 1997.
Beliau kemudiannya memperoleh Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Usuludin dan Falsafah dalam bidang Dakwah dan Pembangunan Insan dari Universiti Malaya (UM).
Dalam pada itu, UNIQSAAS dalam catatan di media sosial berkata Naib Canselornya serta seluruh warga UNIQSAAS merakamkan setinggi-tinggi ucapan tahniah kepada Ahli Lembaga Pengarah UNIQSAAS, Dr. Fariza atas pelantikan sebagai TNC HEAA, UKM.
Katanya, pelantikan ini merupakan satu pengiktirafan terhadap kepimpinan akademik, kecemerlangan ilmu, pengalaman luas serta sumbangan berterusan beliau dalam memartabatkan pendidikan tinggi negara di peringkat nasional dan antarabangsa.
“Semoga beliau terus dikurniakan kesihatan yang baik, kekuatan dan kebijaksanaan dalam menggalas amanah yang diberikan, seterusnya memacu kecemerlangan akademik, penyelidikan dan pengantarabangsaan institusi demi kemajuan pendidikan tinggi Malaysia, ”katanya lagi. -SUARA.TV



