BERSAMA sasar 15 daripada 56 Kerusi PRN Johor

JOHOR BAHRU,– Parti BERSAMA mengumumkan akan bertanding di 15 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Umum Negeri (PRN) Johor 2026, sekali gus menandakan kemunculan parti itu sebagai pencabar baharu yang cuba menembusi kawasan-kawasan bandar dan separa bandar di negeri berkenaan.

Dalam kenyataan media hari ini, BERSAMA memaklumkan pemilihan kerusi dibuat berdasarkan beberapa faktor termasuk hasil kaji selidik dan analisis data yang dijalankan sejak enam bulan lalu, sambutan terhadap parti itu di peringkat akar umbi, kesesuaian calon yang dikenal pasti serta kemampuan mengendalikan kempen pilihan raya secara berkesan.

Menurut kenyataan itu, penilaian turut mengambil kira latar belakang dan kecenderungan pengundi di setiap kawasan, perkembangan keahlian parti mengikut unit Parlimen serta penyertaan calon-calon perintis dan calon terbuka yang menawarkan diri untuk bertanding.

Daripada 15 kerusi yang diumumkan, majoritinya merupakan kawasan yang kini disandang parti-parti dalam kerajaan Perpaduan. Sebanyak lapan kerusi disandang UMNO, lima kerusi disandang DAP, satu kerusi disandang PKR dan satu kerusi disandang MUDA.

Kerusi yang akan ditandingi ialah N13 Bukit Naning (Bakri), N29 Mahkota (Kluang), N40 Tiram dan N41 Puteri Wangsa (Tebrau), N42 Johor Jaya dan N43 Permas (Pasir Gudang), N44 Larkin dan N45 Stulang (Johor Bahru), N46 Perling dan N47 Kempas (Pulai), N48 Skudai dan N49 Kota Iskandar (Iskandar Puteri), serta N50 Bukit Permai, N51 Bukit Batu dan N52 Senai (Kulai).

Pengumuman itu bermakna BERSAMA akan bertanding di kira-kira 27 peratus daripada keseluruhan kerusi DUN Johor, dengan tumpuan diberikan kepada kawasan-kawasan strategik di koridor pembangunan selatan negeri itu yang mempunyai kepadatan pengundi bandar serta komposisi pengundi pelbagai kaum.

Langkah tersebut dilihat sebagai usaha BERSAMA untuk mengukur kekuatan sokongan terhadap parti itu di Johor, selain membina asas bagi memperluaskan pengaruh politiknya menjelang pilihan raya umum akan datang.

Setakat ini, BERSAMA belum mengumumkan senarai calon yang akan mewakili parti itu di semua 15 kerusi berkenaan. Namun parti berkenaan memaklumkan pemilihan calon akan dibuat berdasarkan kesesuaian serta keupayaan mereka untuk membawa agenda perjuangan parti di kawasan yang ditandingi.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat