KUALA LUMPUR – Parti BERSAMA yang dipimpin Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad mengumumkan bakal merebut 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2026.
Dalam kenyataan bersama Rafizi dan Nik Nazmi menyenaraikan 15 kerusi yang diintai untuk direbut dalam PRN Johor.
“Bersama akan bertanding di 15 kerusi dalam Pilihanraya Negeri Johor 2026.
“Kerusi-kerusi yang ini dinilai berdasarkan faktor-faktor berikut iaitu latar belakang dan kecenderungan pengundi berdasarkan dapatan-dapatan kaji selidik dan data yang telah dijalankan sejak 6 bulan yang lepas.
“Sambutan terhadap Bersama setakat ini, berdasarkan keahlian mengikut unit parlimen dan kecenderungan ahli-ahli di kawasan terbabit dan kesesuaian calon-calon dari kalangan perintis BERSAMA di Johor dan calon-calon terbuka yang menawarkan diri untuk bertanding di kerusi-kerusi tersebut.
“Kemampuan BERSAMA mengendalikan kempen pilihan raya secara berkesan di kerusi-kerusi tersebut.
“Ini senarainya DUN Bukit Naning (N14) – penyandang (Umno); DUN Mahkota (N29) – penyandang (Umno);DUN Tiram (N40)penyandang (Umno); DUN Puteri Wangsa (N41) – penyandang (MUDA); DUN Johor Jaya (N42) – penyandang (DAP); DUN Permas (N43) – penyandang (Umno); DUN Larkin (N44) – penyandang (Umno); DUN Stulang (N45) – penyandang (DAP); DUN Perling (N46) – penyandang (DAP) dan DUN Kempas (N47) – penyandang (Umno).
“Selain itu, DUN Skudai (N48) – penyandang (DAP); DUN Kota Iskandar (N49) – penyandang (Umno); DUN Bukit Permai (N50) – penyandang (Umno); DUN Bukit Batu (N51) – penyandang (PKR) seterusnya DUN Senai (N52) – penyandang (DAP),” umumnya.
Justeru katanya, scalon-calon Bersama akan diumumkan pada hari Jumaat ini jam 8 malam di Johor Bahru bersempena dengan pelancaran trak kancil. Tempat pelancaran akan diumumkan kelak.
“Ahli-ahli BERSAMA dan orang ramai yang ingin menjadi jentera BERSAMA di 15 kerusi ini boleh mula mendaftarkan diri di bersama.org
“Sistem ejen undi (PACA) telah dibuka untuk pendaftaran.
“Ahli-ahli BERSAMA dan orang ramai yang ingin menjadi PACA boleh lawati bersama.org dan klik “Sertai Kempen”.
“Dari situ, anda boleh log masuk ke sistem kempen Bersama (setelah mendapat OTP) dan melalui proses untuk menjadi PACA. Ini termasuk mengemukakan dokumen-dokumen yang dikehendaki SPR dan melalui latihan.
“Sistem kempen bersepadu BERSAMA akan mula dibuka esok (Selasa, 23 Jun 2026) yang membolehkan ahli-ahli BERSAMA dan orang ramai dari seluruh negara memilih kempen pilihan raya yang ingin disertai/dibantu mengikut tarikh, masa, lokasi dan jenis-jenis aktiviti.
“BERSAMA berhasrat untuk merintis kempen pilihanraya moden yang tidak memerlukan perbelanjaan pilihan raya yang besar dengan mengaktifkan seberapa ramai ahlinya dan orang ramai dari seluruh Malaysia membantu kempen BERSMA di 15 kerusi ini secara sukarela.
“Bagi BERSAMA, PRN Johor 2026 bukan sahaja medan berebut kerusi dan pangkat untuk orang-orang politik.
“Ia peluang untuk merintis budaya politik yang lebih berfokus kepada penyelesaian masalah rakyat dan masa depan negara dan rakyat,” katanya.


