KUALA LUMPUR – Timbalan Setiausaha Agung PKR Saifuddin Shafi Muhammad menegaskan saranan untuk membubarkan Parlimen sekiranya DAP keluar daripada pentadbiran Kerajaan Persekutuan adalah satu cadangan tidak cukup masak daripada Penolong Setiausaha Agung Pas Khairul Faizi Ahmad Kamil.
Beliau mengingatkan, pentadbiran sesebuah kerajaan dibina hasil daripada mandat rakyat dan seharusnya diselesaikan dalam tempoh satu penggal penuh apatah lagi kecemerlangan pentadbiran itu terbukti memacu pertumbuhan ekonomi negara.
“Malah semua pihak yakin prestasi dan pentadbiran cemerlang kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menjawab secara terus pertikaian dan persepsi yang cuba dihangatkan terutama pada dua siri Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu dan rakyat akan mulai sedar kestabilan dan kemakmuran ekonomi adalah jawapan kepada semua kebingungan sosial yang sedang berlegar kini.
“Jika akar umbi DAP mengambil keputusan agar pimpinan mereka meninggalkan posisi pentadbiran, keadaan tetap stabil kerana ahli-ahli Parlimen mereka masih lagi menjadi sebahagian daripada blok penyokong kerajaan.
“Keputusan DAP itu jika berlaku adalah lebih kepada tindakan strategik mereka bagi menumpukan kepada pengukuhan stuktur parti dan sewajarnya dihormati oleh semua komponen sahabat dan juga parti lain,” jelas beliau.
Saifuddin Shafi memberitahu, semua pihak terutama PKR percaya DAP akan terus memainkan peranan dalam memberikan pandangan semak imbang serta perkongsian pengalaman yang diperlukan oleh pentadbiran kerajaan selain terus meningkatkan mutu perkhidmatan kepada kawasan Parlimen yang mereka wakili.
“Dengan dibarisi lebih dua pertiga Ahli Parlimen, pastinya Kerajaan Madani tidak akan menghadapi masalah untuk melengkapkan jumlah Menteri Kabinet yang diperlukan bagi membantu kelancaran pentadbiran.
“Pun begitu, keberadaan wakil DAP dalam pentadbiran Kerajaan Madani tidaklah mendatangkan sebarang impak buruk selain ianya dijadikan alasan oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk mencetuskan sentimen yang tidak wajar.
“Malah para Menteri dan Timbalan Menteri yang mewakili DAP tuntas menjalankan amanah yang diberikan disebalik tekanan-tekanan fitnah politik yang berpanjangan,” katanya.


