HONOR Watch 6 gabungkan kesihatan, sukan dan produktiviti dalam satu peranti

Tidak dinafikan, jam pintar sudah menjadi antara aksesori wajib bagi ramai pengguna hari ini. Namun, persoalannya, adakah semua jam pintar benar-benar membantu dalam kehidupan seharian, atau sekadar menjadi alat untuk menerima notifikasi telefon? Dengan pelancaran HONOR Watch 6 di Malaysia, HONOR cuba membawa perspektif baru bahawa sebuah jam pintar sepatutnya menjadi pembantu peribadi yang sentiasa berada di pergelangan tangan, sama ada ketika bersukan, bekerja mahupun menjalani rutin harian.

Apa yang menarik, HONOR tidak hanya menumpukan kepada reka bentuk atau ciri kesihatan semata-mata. Sebaliknya, HONOR Watch 6 dibangunkan untuk memenuhi keperluan pengguna moden yang mahukan keseimbangan antara prestasi, produktiviti dan gaya hidup aktif tanpa perlu bergantung kepada terlalu banyak aplikasi tambahan.

Dalam dunia yang semakin sibuk, jangka hayat bateri sering menjadi perkara pertama yang dipertimbangkan sebelum membeli jam pintar. Ramai pengguna sudah biasa dengan rutin mengecas peranti hampir setiap hari, tetapi pengalaman itu cuba diubah oleh HONOR Watch 6. Dengan bateri berkapasiti 980mAh, jam pintar ini mampu bertahan sehingga 35 hari dalam penggunaan biasa, manakala mod GPS pula boleh digunakan sehingga 42 jam secara berterusan.

Tempoh penggunaan yang panjang ini memberi lebih kebebasan kepada pengguna, khususnya mereka yang gemar melakukan aktiviti luar seperti mendaki, berbasikal, berkhemah atau mengikuti acara larian jarak jauh. Pengguna tidak lagi perlu risau membawa pengecas ke mana-mana atau bimbang jam pintar kehabisan bateri ketika aktiviti sedang berlangsung.

Selain itu, HONOR Watch 6 turut memperlihatkan bagaimana teknologi sukan kini semakin berkembang. Walaupun kebanyakan jam pintar menawarkan pelbagai mod senaman, HONOR memilih untuk memberikan perhatian khusus kepada dua sukan yang cukup popular di Malaysia iaitu badminton dan bola sepak.

Lebih menarik, kedua-dua mod profesional ini disediakan secara terbina dalam tanpa memerlukan aplikasi pihak ketiga atau langganan tambahan. Ini bermakna pengguna boleh terus menikmati analisis yang lebih mendalam sebaik sahaja memakai jam tersebut.

Bagi pemain badminton, HONOR Watch 6 mampu merekodkan pelbagai data seperti kelajuan hayunan, kuasa pukulan, jumlah hayunan dan pukulan berturut-turut yang berjaya dilakukan. Ia juga boleh mengenal pasti jenis pukulan seperti smash dan clear serta menganalisis corak permainan termasuk nisbah pukulan forehand dan backhand.

Pendekatan ini membolehkan pemain bukan sahaja mengetahui jumlah kalori yang dibakar, malah memahami prestasi permainan mereka dengan lebih terperinci. Sama ada pemain rekreasi atau mereka yang aktif menyertai kejohanan hujung minggu, maklumat seperti ini boleh dijadikan rujukan untuk memperbaiki teknik dan konsistensi permainan.

Bagi peminat bola sepak pula, HONOR Watch 6 menawarkan analisis selepas perlawanan yang jauh lebih menyeluruh. Pengguna boleh melihat peta pergerakan serta heat map yang menunjukkan kawasan padang yang paling banyak dilalui sepanjang perlawanan. Data ini memberi gambaran lebih jelas tentang corak permainan, sekali gus membantu pemain menilai kedudukan serta strategi mereka untuk aksi seterusnya.

Dalam masa yang sama, HONOR turut memastikan jam pintar ini kekal relevan untuk penggunaan harian. Melalui sistem pemantauan kesihatan pintar, pengguna boleh memantau kadar denyutan jantung, paras oksigen dalam darah serta corak tidur secara automatik tanpa perlu mengaktifkan fungsi tertentu setiap kali ingin membuat pemeriksaan.

Bagi mereka yang menggunakan ekosistem HONOR, pengalaman menjadi lebih lancar apabila jam ini menyokong pelbagai fungsi pintar termasuk notifikasi daripada dua telefon, kawalan menggunakan pergerakan pergelangan tangan serta AI Recorder yang boleh menghasilkan nota suara dan ringkasan secara automatik sebelum diselaraskan ke HONOR Notes pada telefon pintar.

Satu lagi ciri yang semakin relevan ialah NFC Smart Access. Dengan hanya satu sentuhan pada pergelangan tangan, pengguna boleh memasuki pejabat, rumah atau premis yang menyokong sistem akses NFC tanpa perlu mengeluarkan kad akses atau telefon pintar. Fungsi seperti ini menjadikan pengalaman harian lebih ringkas, terutama ketika tangan sedang penuh membawa barang.

Dari segi reka bentuk pula, HONOR Watch 6 menampilkan identiti yang lebih premium menerusi konsep Racing Dashboard Design yang diinspirasikan daripada elemen automotif berprestasi tinggi. Model Shadow Black menggunakan binaan aluminium aloi kitar semula dengan berat hanya 41 gram, manakala varian Twilight Brown pula menggunakan badan keluli tahan karat yang memberikan sentuhan lebih elegan.

Walaupun tampil ringan, jam pintar ini tetap dibina untuk penggunaan lasak dengan penarafan IP69 yang menawarkan perlindungan terhadap air dan habuk. Ini memberi keyakinan kepada pengguna untuk memakainya ketika bersenam, melakukan aktiviti luar atau menjalani rutin harian tanpa perlu terlalu risau mengenai ketahanan peranti.

Paparan yang mampu mencapai kecerahan sehingga 3,000 nits turut memastikan maklumat pada skrin masih mudah dibaca walaupun di bawah cahaya matahari yang terang. Sama ada ketika berlari pada waktu tengah hari atau berbasikal di kawasan terbuka, pengguna masih boleh melihat notifikasi dan data kecergasan dengan jelas.

HONOR Watch 6 kini boleh didapati di Malaysia dalam dua pilihan warna. Varian Shadow Black dengan tali Fluoroelastomer dijual pada harga RM699, manakala Twilight Brown yang dipadankan dengan tali kulit ditawarkan pada harga RM799. Ia boleh dibeli melalui HONOR Experience Store di seluruh negara, HONOR Online Store serta kedai rasmi HONOR di Shopee, Lazada dan TikTok Shop.

Dengan gabungan jangka hayat bateri yang luar biasa, ciri sukan profesional, fungsi kesihatan yang komprehensif serta pelbagai ciri pintar untuk kegunaan harian, HONOR Watch 6 dilihat bukan sekadar jam pintar biasa. Sebaliknya, ia hadir sebagai teman digital yang membantu pengguna kekal aktif, lebih produktif dan sentiasa berhubung sepanjang hari tanpa perlu terlalu bergantung kepada telefon pintar.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat