Oleh Zihan Zari
TAIPING – Jika anda ke bandar bersejarah Taiping, jangan lupa singgah sebentar di PenTcafe Penjara Taiping yang terletak di 1879, Jalan Taming Sari, Taman Tasik Taiping, yang menawarkan suasana kondusif, tenang, bersih, dan selesa.
PenTcafe menjanjikan variasi makanan yang sedap dan unik untuk anda nikmati, yang berbaloi dengan harga dan kualiti yang ditawarkan. Antara menu tarikan utama yang wajib anda cuba dan sering mendapat pujian pelanggan ialah Mi Bandung, Nasi Goreng Ikan Rebus, serta Kuetiau Kungfu.
Tempat ini juga terkenal sebagai lokasi sarapan dan makan tengah hari yang sesuai untuk bersantai bersama rakan-rakan sambil menikmati hidangan teh tariknya yang enak.
Menariknya, Pentcafe telah melakar pencapaian baharu apabila kafe milik Penjara Taiping itu menerima Sijil Penarafan Kebersihan Premis Makanan Gred A (Sangat Bersih) daripada Majlis Perbandaran Taiping (MPT) sempena Program Lawatan ke Premis Makanan Terpilih Gred A, dekat sini baru-baru ini.
Sijil pengiktirafan itu telah disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pokok Assam, Ong Seng Guan kepada Pengarah Penjara Taiping, Penolong Kanan Komisioner Penjara, Rizalma Che Abd Hamid disaksikan oleh Yang Dipertua (YDP) MPT, Mohamed Akmal Dahalan.
Pengiktirafan kepada PenTcafe diperoleh selepas premis berkenaan memenuhi semua syarat dan kriteria kebersihan serta keselamatan makanan sepertimana yang telah ditetapkan oleh MPT.
“MPT sebelum ini telah membantu pengurusan kafe berkenaan mengenal pasti keperluan yang mesti dipatuhi bagi melayakkannya memperoleh penarafan tertinggi itu, termasuklah menyelesaikan isu pelesenan, memasang perangkap minyak (grease trap), serta memastikan pekerja mendapatkan suntikan tifoid,” kata Yang Dipertuanya, Mohamed Akmal Dahalan.
Beliau berkata, kafe ini masih baharu dan berdepan beberapa isu termasuk berkaitan lesen serta syarat yang perlu dipenuhi bagi sebuah premis makanan.
“Saya meminta pegawai MPT membantu menyediakan senarai semak perkara yang perlu dipatuhi, dan selepas dua hingga tiga bulan, pihak pengurusan PenTcafe berjaya melengkapkan semua keperluan yang telah ditetapkan,” katanya kepada media.
Katanya lagi, pengiktirafan terhadap PenTcafe diharap dapat menarik lebih ramai pengunjung sekali gus menjadikan premis makanan berkenaan sebagai satu lagi tarikan baharu di Taiping.
“Pihak pengurusan (Penjara Taiping) telah mengambil langkah memenuhi semua ketetapan MPT termasuk melakukan pelaburan bagi memastikan tahap kebersihan premis berada pada standard yang ditetapkan.
“Walaupun bukan mudah dan memerlukan pelaburan, kami melihat perkara ini sebagai satu usaha untuk kebaikan semua serta memberikan keyakinan kepada masyarakat untuk berkunjung ke sini.
“Pengiktirafan ini juga penting untuk meyakinkan orang ramai terhadap tahap kebersihan premis makanan yang beroperasi di kawasan penjara serta melibatkan banduan (prospek) sebagai penyedia makanan dan minuman,” ujarnya.
Pada 31 Julai 2026, perasmian PentCafe Penjara Taiping telah disempurnakan oleh mantan Ketua Pengarah Penjara, Komisioner Jeneral Penjara Dato’ Sri Hj. Abdul Aziz Abdul Razak. Kafe ini dibuka kepada pengunjung dari hari Isnin hingga Jumaat, bermula pukul 8.00 pagi hingga 4.30 petang, serta ditutup pada hari Sabtu, Ahad, dan cuti umum.
Pengiktirafan Gred A mencerminkan komitmen PenCafe Penjara Taiping dalam memastikan aspek halal, kebersihan, dan proses penyediaan makanan sentiasa terpelihara demi kepentingan pelanggan. – SUARA.TV



