MANILA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru ASEAN memperkukuh perlindungan biodiversiti rantau ini daripada eksploitasi dan penyalahgunaan pihak luar, sambil menegaskan perkara itu turut melibatkan kedaulatan serantau.
Ketika menyampaikan intervensi pada sesi pleno Sidang Kemuncak ASEAN ke-49 di sini hari ini, beliau berkata ekosistem, sumber genetik dan hidupan liar Asia Tenggara menjadi asas kepada keterjaminan makanan dan air, taraf hidup, daya tahan iklim serta pembangunan ekonomi mampan.
“Oleh itu, kita bertanggungjawab memperkukuh tadbir urus serantau, memastikan penggunaan sumber biodiversiti yang mampan dan saksama, serta melindunginya daripada eksploitasi dan penyalahgunaan oleh pihak luar.
“Melindungi biodiversiti ASEAN bukan sekadar satu keperluan alam sekitar, tetapi juga berkait dengan kedaulatan serantau,” katanya.
Berhubung pencemaran jerebu rentas sempadan, Anwar berkata Malaysia telah mengemukakan beberapa cadangan berkaitan diplomasi sains dan dana jerebu mampan menerusi Jawatankuasa Pemandu Peringkat Menteri Subrantau mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (MSC).
Menurut beliau, cadangan itu bertujuan memperkukuh kerjasama saintifik, meningkatkan proses membuat keputusan berasaskan bukti serta memastikan sokongan kewangan lebih mampan bagi pelaksanaan Perjanjian ASEAN mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (AATHP).
Malaysia akan berusaha membawa cadangan berkenaan ke Persidangan Pihak-Pihak bagi perjanjian itu pada Disember ini, selain meneruskannya ketika mempengerusikan MSC pada 2027.
Dalam hantaran media sosial berasingan, Anwar menegaskan Malaysia akan terus memainkan peranan aktif dalam membina ASEAN yang bersatu dan berdaya tahan.
Beliau berkata, sebagai antara negara pengasas ASEAN, Malaysia kekal komited dalam mencorakkan hala tuju rantau ini, memperkukuh perpaduan serta memelihara keamanan dan kestabilan serantau.
Menurutnya, Malaysia juga akan terus menjadi rakan serantau yang komited bagi memastikan suara dan kepentingan ASEAN dihormati di pentas antarabangsa.
Anwar berkongsi pendirian itu selepas menghadiri majlis perasmian Sidang Kemuncak ASEAN di Pusat Konvensyen Antarabangsa Filipina (PICC), bersama isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Sidang kemuncak itu dipengerusikan Presiden Filipina, Ferdinand R. Marcos Jr., selaku Pengerusi ASEAN. – Suara.TV/BERNAMA



