DOHA, – Malaysia berjaya mempertahankan kedudukannya sebagai Ahli Majlis Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) bagi penggal kedua berturut-turut untuk tempoh 2027 hingga 2030, sekali gus membolehkan negara terus terlibat dalam menentukan hala tuju pembangunan telekomunikasi dan teknologi digital dunia.
Kejayaan itu dicapai menerusi pemilihan semula Malaysia pada Persidangan Plenipotensi ITU 2026 (PP-26) yang berlangsung di Doha, Qatar.
Malaysia merupakan antara 48 negara yang dipilih menganggotai Majlis ITU, badan pembuat keputusan utama agensi khusus Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam bidang telekomunikasi dan teknologi digital.
Menurut kenyataan bersama Kementerian Komunikasi dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), pemilihan semula itu mencerminkan keyakinan berterusan negara anggota ITU terhadap sumbangan serta peranan Malaysia dalam pembangunan digital antarabangsa.
Sepanjang penggal pertama dari 2023 hingga 2026, Malaysia memainkan peranan dalam usaha merapatkan jurang digital menerusi Gabungan Digital Partner2Connect ITU, termasuk menyediakan biasiswa, latihan khusus dan perkongsian pengetahuan kepada komuniti kurang mendapat perkhidmatan serta negara membangun.
Malaysia turut memperkukuh kerjasama serantau menerusi Asia-Pacific Telecommunity (APT), khususnya dalam penyelarasan dasar pengurusan spektrum, piawaian teknikal dan penambahbaikan keberkesanan institusi ITU.
Sumbangan negara turut mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila MCMC meraih Anugerah Sidang Kemuncak Dunia mengenai Masyarakat Maklumat (WSIS) selama dua tahun berturut-turut.
Pada 2025, pengiktirafan diberikan kepada projek NADI Digital Inclusive, manakala pada 2026 menerusi ASEAN 5G Skills Framework and Capacity Development Platform.
MCMC turut menjadi Rakan Platinum WSIS bagi kedua-dua tahun berkenaan, sementara Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) diiktiraf sebagai sebahagian daripada rangkaian Pusat Transformasi Digital (DTC) ITU pada April 2026.
Berpandukan visi *Inclusivity for an Equitable Future* atau Inklusiviti untuk Masa Depan yang Saksama, Malaysia akan terus memperjuangkan pembangunan digital yang lebih adil dan inklusif.
Antara keutamaan negara ialah memastikan pembangunan teknologi baharu tidak hanya memanfaatkan negara maju, sebaliknya turut memberi peluang kepada negara membangun meningkatkan keupayaan digital masing-masing.
Malaysia juga akan memberi penekanan terhadap keselamatan dalam talian, kepercayaan digital, ketahanan keselamatan siber serta penggunaan teknologi keselamatan tahan kuantum bagi melindungi infrastruktur digital kritikal.
Di peringkat domestik, komitmen itu diterjemahkan melalui pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA), NADI dan Kempen Internet Selamat (KIS) bagi memperluas akses Internet, meningkatkan kemahiran digital dan melindungi pengguna.
Pemilihan semula ini membolehkan Malaysia meneruskan penglibatan secara langsung dalam perbincangan dan keputusan strategik ITU, termasuk berkaitan pembangunan teknologi komunikasi generasi akan datang seperti 6G.
Kementerian Komunikasi dan MCMC turut merakamkan penghargaan kepada negara anggota ITU atas kepercayaan dan sokongan yang diberikan kepada Malaysia. – Suara.TV



