KUALA LUMPUR – Ketua-Ketua Pemuda Umno Negeri Sembilan menegaskan 25 Adun Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) sudah mencukupi untuk membentuk sebuah kerajaan yang stabil tanpa memerlukan sebarang sokongan daripada Pakatan Harapan (PH).
Dalam kenyataan media bersama lapan Ketua Pemuda Umno Negeri Sembilan sepakat dan yakin kesemua 25 Adun daripada parti-parti kerajaan mempunyai kewibawaan, pengalaman, integriti dan kelayakan untuk diberikan amanah memegang jawatan dalam pentadbiran negeri, termasuk sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco).
“Kami, Ketua-Ketua Pemuda Umno Negeri Sembilan, mengambil maklum mengenai penyebaran satu berita yang mendakwa kononnya Kerajaan Negeri Sembilan yang diterajui gabungan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) akan melantik dua orang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Pakatan Harapan (PH) sebagai Exco.
“Kami ingin menegaskan bahawa dakwaan tersebut adalah tidak benar dan merupakan berita palsu yang sengaja disebarkan oleh pihak tertentu bagi mengelirukan rakyat serta mencetuskan keresahan dalam kalangan masyarakat Negeri Sembilan.
“Rakyat Negeri Sembilan telah pun membuat keputusan yang jelas melalui Pilihan Raya Negeri. Keputusan tersebut memperlihatkan penolakan terhadap PH dan Bersatu. Malah, dua Pengerusi parti telah tewas di DUN Linggi dan DUN Chenah, manakala kesemua 24 calon Bersatu turut gagal memperoleh kemenangan, dengan sebahagian daripada mereka kehilangan deposit.
“Keputusan ini adalah manifestasi suara rakyat yang wajib dihormati oleh semua pihak. Justeru, sebarang cubaan untuk mencipta persepsi bahawa PH akan dibawa masuk ke dalam pentadbiran kerajaan negeri hanyalah satu bentuk propaganda politik yang tidak bertanggungjawab,” tegas mereka.
Menurut Ketua-Ketua Pemuda Umno itu lagi, Kerajaan Negeri Sembilan yang baharu di bawah pimpinan Datuk Ismail Lasim telah dibentuk dengan mandat yang kukuh melalui gabungan 18 kerusi BN dan 7 kerusi PN, menjadikan jumlah 25 ADUN yang mencukupi untuk membentuk sebuah kerajaan yang stabil tanpa memerlukan sebarang sokongan daripada PH.
“Sehubungan itu, Pemuda Umno Negeri Sembilan akan terus berdiri teguh mempertahankan mandat rakyat dan memastikan segala keputusan pentadbiran negeri selari dengan kehendak yang telah dizahirkan melalui peti undi.
“Mandat rakyat mesti dihormati. Keputusan rakyat mesti dipertahankan.
“Jangan cemarkan demokrasi dengan berita palsu dan propaganda murahan.
“Kami menyeru seluruh rakyat Negeri Sembilan agar tidak mudah terpedaya dengan fitnah dan permainan persepsi yang sengaja direka untuk menggugat keyakinan terhadap kerajaan negeri yang telah diberikan mandat oleh rakyat,” katanya.
Kenyataan bersama itu melibatkan, Ketua Pemuda Umno Negeri Sembilan / Ketua Pemuda Umno Bahagian Seremban; Naib Ketua Pemuda Umno Negeri Sembilan/ Ketua Pemuda Umno Bahagian Jelebu; Setiausaha Pemuda Umno Negeri Sembilan / Ketua Pemuda Umno Bahagian Tampin; Ketua Penerangan Pemuda Umno Negeri Sembilan / Ketua Pemuda Umno Bahagian Jempol; Bendahari Pemuda Umno Negeri Sembilan / Ketua Pemuda UMNO Bahagian Port Dickson; Ketua Pemuda Umno Bahagian Kuala Pilah dan Ketua Pemuda Umno Bahagian Rembau serta Ketua Pemuda Umno Bahagian Rasah.



