SPRM Sahkan Terima Nama Pegawai JPN Disyaki Minta Wang Untuk Kelulusan Warganegara

- Advertisement -

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah menerima nama pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang dipercayai meminta sejumlah wang bagi kelulusan permohonan warganegara.

Perkara itu disahkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki yang berkata, pegawainya menerima nama terbabit dan akan menjalankan siasatan.

“Saya dapat maklumat nama sudah diberikan kepada SPRM dan kita akan menjalankan siasatan.

“Berapa jumlah nama yang diserahkan itu saya tidak pasti kerana perlu semak dulu. Cuma apa diberitahu pegawai, nama dah terima,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Program Pemantapan Rakan Strategik Media SPRM di sini, hari ini.

Terdahulu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata, nama seorang pegawai JPN yang dipercayai meminta sejumlah wang bagi kelulusan permohonan warganegara akan diserahkan kepada SPRM, hari ini.

Beliau dilaporkan berkata, pegawai terbabit dikenal pasti selepas beliau menerima aduan yang dibuat secara terus kepadanya.

Ditanya pandangan beliau berhubung amalan memberi kenyataan mengenai rasuah secara terbuka selepas dua menteri berbuat demikian, Azam berkata, tiada halangan untuk melakukannya.

Menurutnya, menjadi tanggungjawab seseorang menteri untuk mencegah rasuah dan mereka tidak dikenakan had bagi mendedahkan perkara itu kepada umum.

Katanya, ia harus diterima secara positif dalam memastikan rasuah dapat ditangani segera.

Dalam majlis sama, Azam turut melancarkan akaun rasmi Tiktok ‘SPRM Malaysia’ sebagai salah satu medium menyampaikan maklumat dan mendidik masyarakat mengenai rasuah.

Sebelum itu, taklimat mengenai bidang kuasa SPRM turut disampaikan oleh Timbalan Pengarah Bahagian Operasi Khas SPRM, Saiful Ezral Arifin; Timbalan Pengarah Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan SPRM, Sudirman Aban; serta Pengerusi Panel Penilaian Operasi SPRM, Datuk Ahmad Rosli Mohd Sham.

Forum isu rasuah juga diadakan yang menampilkan panel Pengarang Kumpulan New Straits Times (NST), Farrah Naz Karim dan pempengaruh media sosial, Muhammad Iqbal Fatkhi serta moderator Samsul Salip. – Hmetro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat