JAJARAN BAHARU, TRAGEDI NGERI UNTUK UMNO

- Advertisement -

Ahli-ahli UMNO yang menyokong jajaran baharu, agenda yang dibawa oleh sekumpulan pimpinan UMNO Pusat dan pengikutnya dalam ‘Jajaran Politik Baharu” bersama DAP sudah boleh bersiap sedia untuk berkenduri pulut kuning. Boleh buat majlis ‘kesyukuran’ besar-besaran kerana DAP nampaknya telah bersedia untuk mengadakan kerjasama dengan UMNO.

Ini bukan fitnah dan bukan tohmah.

Semalam 4 April 2021, Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke dilaporkan oleh pelbagai media mengatakan partinya tidak mempunyai masalah untuk bekerjasama dengan UMNO selepas PRU15 nanti.

Betulkah begitu? Atau apakah ia cuma wayang semata-mata? Kalau boleh bekerjasama selepas PRU, kenapa tidak sebelumnya?

Kenyataan Loke membayangkan rundingan telah berjalan dan kedua-dua pihak tidak akan menunggu sehingga selepas PRU untuk bersekedudukan. Tetapi perkara itu tidak berani dihebahkan sebab takut menimbulkan kemarahan orang Melayu. Takut orang Melayu tidak memberi undi pada UMNO dan akibatnya cita-cita DAP untuk memerintah semula dengan menunggang UMNO tidak tercapai.

Bagi ahli-ahli UMNO yang setia pada prinsip asal perjuangan, agenda jajaran baharu ini merupakan tragedi sejak saat ia mula dirangka. Melaksanakan idea itu merupakan onar yang paling besar terhadap parti, orang Melayu dan agama Islam.

Ia adalah pengkhiatan terhadap dasar perjuangan UMNO. Ia menunjukkan betapa lemahnya jati diri UMNO sekarang sehingga sanggup mengangkang dan melacur hanya semata-mata kerana kuasa.
Sebenarnya UMNO tidak bersalah.

Yang bersalah adalah sekumpulan pemimpin dan ahli yang berjuang bukan kerana ABATA tetapi kerana kepentingan mereka sendiri. Mereka inilah yang menjadikan UMNO sebagai komiditi untuk didagangkan. Mereka akan menjualnya kepada sesiapa sahaja asalkan labanya mereka dapat.

Jajaran baharu sesungguhnya idea yang sangat-sangat menguntungkan DAP dan sekutu-sekutunya. Terlaksananya jajaran itu bermakna pintu untuk DAP masuk ke hati sanubari orang Melayu akan terbuka luas. Ia tidak perlu lagi menyusup masuk secara bersembunyi dan teragak-agak seperti yang dilakukan selama ini. Dengan jajaran baharu ia boleh keluar masuk dalam kehidupan orang Melayu dengan membawa agenda Malaysian Malaysianya tanpa segan silu. Ia tak perlu bimbang apa-apa sebab UMNO ada bersamanya.

Apa yang UMNO dapat? Adakah sebagai timbal baliknya UMNO juga akan berpeluang melangkah masuk ke hati nurani orang Cina, dan bukan Melayu lain yang totok DAP? Jangan harap! Melayu UMNO akan disuap, ditepuk-tepuk dan dilenakan di depan pagar sahaja. Jangan mimpi nak dibawa masuk ke rumah.

Di peringkat awal kerjasama DAP tentunya akan melayan apa juga kehendak UMNO. Itu cara orang Cina berniaga. Sebagai parti yang didominasi oleh bangsa Cina tentu DAP tidak dapat mengelak daripada terpengaruh dengan cara itu. Jika UMNO mahu bertanding di kawasan Cina, ia akan bagi. Jika UMNO mahu ahli-ahli dan pemimpin kluster mahkamahnya dibebaskan daripada dakwaan, DAP akan bagi. Malah jika UMNO minta kerusi ketua menteri Pulau Pinang pun agaknya DAP akan bagi, Tetapi ikhlaskah parti cap roket itu?

Sekali lagi, jangan harap!

Jika Tun Mahathir yang ibarat harimau liar dalam arena politik itu boleh dijinakkan oleh DAP sehingga menjadi seperti kambing kampung, apalah sangat dengan pimpinan tertinggi UMNO dan penyokong pemimpin tersebut. Dengan mudah mereka akan ditukar menjadi ular sawa kenyang sebelum ditukar lagi menjadi kura-kura yang pandainya hanya menyembunyikan kepala!

Dalam bekerjasama dengan DAP, UMNO tidak mungkin akan menjadi tangan yang di atas. Ia akan diletakkan dalam keadaan sentiasa mengharapkan ehsan. Kekuatan lebih 3 juta ahlinya tidak akan memberi makna apa-apa kerana secara halus mereka akan diletakkan dalam keadaan berhutang dan terhutang.

Apa yang terjadi selepas itu? UMNO akan mula merasionalkan agenda-agenda chauvinis DAP. UMNO akan membersihkan DAP dan menggilapnya untuk dijadikan hadiah kepada orang Melayu. DAP pula di pihak lain akan mula mempengaruhi UMNO supaya bergerak mengikut seleranya. Akhirnya jangan terkejut jika suatu ketika nanti pemimpin-pemimpin UMNO bertempik di atas pentas DAP memperjuangkan agenda Malaysian Malaysia.

Apa lagi selepas itu? Memunggah sejarah dan menukar intipatinya? Mengiktiraf perjuangan Chin Peng? UMNO menjerit-jerit mendokong konsep negara sekular? Menjadikan PAU tempat memuji demokrasi sosialis? Semuanya mungkin.

Kepada Mereka yang menyokong jajaran baharu tidak akan menongkat langit. Sampai masanya mereka akan pergi. Apa akan jadi pada UMNO ketika itu? UMNO yang bagaimana mereka tinggalkan kepada anak cucu? UMNO yang akan terus dikenang sebagai pejuang bangsa, atau UMNO yang akan diludah sebagai pengkhianat perjuangan nenek moyangnya?

Haji Kasim Adli
Permatang Pauh.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat