PUTRAJAYA: Tun Dr. Mahathir Mohamad menyifatkan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador sebagai seorang berprinsip yang mempunyai tekad untuk membersihkan imej keseluruhan pasukan polis.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, Abdul Hamid sepatutnya kekal memegang jawatan itu sehingga tamat darurat walaupun kontrak perkhidmatan beliau berakhir lebih awal dan memilih untuk berhenti.
“Saya memilih beliau sebagai Ketua Polis Negara kerana melihat (pendirian dia) ketika orang nak lantik dia sebagai ketua dalam cawangan khas, dia tolak dan berhenti dari polis.
“Sebab itu apabila saya jadi Perdana Menteri, saya ambil dia, sebab orang ini ada prinsip dan dia cuba bersihkan pasukan polis,” katanya kepada Utusan Malaysia di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini semalam.
Dr. Mahathir berkata, beliau meletakkan Abdul Hamid untuk tujuan ‘pembersihan’ itu, namun tempoh perkhidmatan selama dua tahun tidak cukup untuk membersihkan sepenuhnya kerana perlu bertugas sehingga lima atau enam tahun.
Bagaimanapun beliau berbangga walaupun dalam tempoh singkat itu, Abdul Hamid sudah banyak membuat tangkapan pegawai kanan polis yang terlibat dalam kegiatan kotor.
Namun beliau percaya ramai lagi anggota berpangkat tinggi mungkin terlibat dalam rasuah.
Baru-baru ini, Abdul Hamid dalam sidang akhbar terakhir sebagai Ketua Polis Negara mendedahkan berlaku campur tangan politik dalam urusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan menyifatkan Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) dipengerusikan Datuk Seri Hamzah Zainuddin dicemari ‘unsur politik’.
Abdul Hamid berkata, Menteri Dalam Negeri tidak sepatutnya campur tangan dalam pengurusan polis dan amalan itu harus dielakkan.
Dalam pada itu Dr. Mahathir berkata, semasa era pentadbirannya, beliau sama sekali tidak mencampuri urusan perjawatan pasukan polis sama ada siapa yang dinaikkan pangkat atau atas pilihan siapa kerana percaya polis menjalankan kerja dengan baik.
Katanya, ini termasuk tidak mempersoalkan siapa yang dipilih oleh SPP sebaliknya menerima siapa sahaja pilihan suruhanjaya itu dan hanya membawa nama-nama tersebut kepada perkenan Yang di-Pertuan Agong.
Bagaimanapun kata beliau, ketika ini pelbagai cerita timbul yang tidak dapat disahkan bahawa ada pegawai-pegawai tinggi polis yang mendapat gaji daripada kumpulan samseng.
“Sama ada betul atau tidak, saya tidak tahu sebab orang yang nak siasat perkara ini polis juga. Kalau dia siasat jumpa kawan yang buat, mungkin dia tak tergamak atau (sebab-sebab lain).
“Kita dengar cerita sampai ke peringkat police station punya chief, sarjan apa semua dapat duit gaji daripada penyangak. Jadi rosaklah kalau kita harap polis nak jalan tugas uphold the law, tapi polis yang break the law,” katanya.
-UTUSAN