KUALA LUMPUR – Ketua DAPSY Kebangsaan Woo Kah Leong membangkitkan persoalan dengan nada menyindir yang ditujukan kepada Pas berkenaan kononnya parti Islam itu mempunyai empat lori calon Perdana Menteri namun gagal memilih seorang Pengerusi Perikatan Nasional (PN).
“Adakah PAS telah mengkaji cara untuk memilih pengerusi baharu Perikatan Nasional (PN)? Pengerusi PN meletak jawatan bulan lepas, dan sekarang Tahun Baru Cina sudah hampir.
“Tetapi gabungan pembangkang yang mendakwa mahu memerintah, masih tidak dapat memilih pengerusi gabungan sehingga hari ini.
“Bukankah Pas mengatakan bahawa mereka mempunyai empat lori calon Perdana Menteri? Di mana orangnya? Hanya memilih Pengerusi PN sahaja, apa yang perlu ditakutkan? tempelak Adun Pasir Bedamar itu di Facebooknya.
Susulan soalan pedas itu, Ketua Penerangan Pas Ahmad Fadhli Shaari tampil membidas kenyataan Kah Leong yang meminta untuk mengkaji cara pelantikan Pengerusi PN yang baharu.
Fadhli berkata, pelantikan Pengerusi PN adalah perkara yang berbeza dengan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dan pilihan raya Datuk Bandar yang jelas merupakan isu rakyat.
Menurutnya, UEC dan pilihan raya Datuk Bandar melibatkan wang rakyat, isu negara dan pembayar cukai
“Jauh sangat tu lari Woo Kah Leong, perbandingan yang tidak sama dan bukankah anda sendiri sedang memperjuangkan lulusan UEC agar diterima ke universiti awam? Itulah isu rakyat dan kami terlibat.
“Isu Pengerusi PN, anda tidak terlibat. Sebagaimana pertelagahan anda dengan Pemuda Umno, putus hubungan di Melaka dan lain-lain, kami tidak terlibat.
“Berapa lori kami ada calon PM pun, bukan isu anda, ia isu kami,” selar Ahli Parlimen Pasir Mas itu.



