KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) dijangka menjemput Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi menghadiri mesyuarat luar biasa Majlis Tertinggi (MT) Perikatan Nasional (PN) yang dirancang tidak lama lagi.
Timbalan Presiden Pas Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Muhyiddin tidak dijemput ke mesyuarat agung luar biasa itu pada 29 Januari lalu berikutan Perlembagaan PN menyatakan pemegang jawatan presiden dalam gabungan parti politik itu bukan secara automatik menjadi ahli MT PN.
Beliau berkata, itu menjadi alasan mengapa Muhyiddin tidak dijemput ke mesyuarat berkenaan kerana beliau bukan ahli MT PN secara automatik selepas menghantar surat menyatakan hasrat meletak jawatan sebagai Pengerusi PN.
“Tidak ada perbalahan pun. Cuma isu teknikal kerana perlembagaan PN sendiri yang menyatakan perkara ini.
“Saya telah memberikan pandangan bahawa elok kita (PN) panggil beliau (menghadiri mesyuarat luar biasa) walaupun bukan ahli secara automatik dan kami bersetuju beliau hadir,” katanya kepada pemberita selepas Ceramah Umum Isu-Isu Semasa anjuran Pas Kawasan Seremban semalam, lapor Utusan di Negeri Sembilan.
Beliau diminta mengulas kemelut yang timbul daripada jemputan mesyuarat luar biasa MT PN pada 29 Januari lalu yang tidak mengundang Muhyiddin.
Sementara itu, Tuan Ibrahim memberitahu, beliau yakin isu berkaitan jawatan pengerusi PN itu dapat diselesaikan dalam tempoh seminggu atau dua minggu akan datang.
Jelasnya, semua pihak mahu isu itu diselesaikan dengan segera dalam suasana harmoni kerana ia telah berlarutan lebih sebulan lalu.
“Tiada masalah antara kami. Hubungan sangat baik.
“Saya baru saja berjumpa dengan Muhyiddin dan kami juga biasa bertemu di Parlimen,” katanya.



