KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan keputusan Malaysia menjemput Ketua Kerajaan Junta Myanmar, Min Aung Hlaing ke negara ini meskipun berdepan persoalan susulan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung pembunuhan ribuan etnik Rohingya.
Perdana Menteri berkata, jemputan itu dibuat sebelum keputusan ICJ pada 19 November lalu dan bertujuan membuka ruang rundingan bagi menyelesaikan isu rakyat Myanmar yang berada di Malaysia.
Menjawab soalan Hassan Karim (Pasir Gudang) di Dewan Rakyat hari ini, Anwar berkata Malaysia menghormati keputusan ICJ dan kekal berpegang kepada prinsip mempertahankan hak asasi manusia.
Beliau berkata, Malaysia perlu mengambil kira kepentingan negara dalam menangani kehadiran hampir 200,000 pelarian Myanmar, yang sebahagiannya menjadi mangsa kekejaman rejim negara itu.
“Keputusan kita mengundang itu sebelum keputusan ICJ, yang itu pertama. Yang kedua, kita ada masalah dalam negara, dalam memutuskan dasar keutamaannya adalah memelihara kepentingan negara,” katanya.
Anwar berkata, rundingan dengan kerajaan Myanmar membuahkan hasil apabila 10,476 rakyat negara itu berjaya dibawa pulang setakat ini, dengan semua kos ditanggung kerajaan Myanmar.
Daripada jumlah itu, 1,476 orang dibawa pulang menggunakan kapal perang Myanmar pada 29 September lalu, manakala selebihnya melalui penerbangan.
Beliau berkata, tiga kapal angkatan laut Myanmar turut diluluskan untuk membawa pulang 1,500 rakyat negara itu pada 6 dan 7 Disember ini.
Selain itu, 5,303 lagi dijadual dibawa pulang menggunakan pesawat pada Disember ini, juga atas tanggungan kerajaan Myanmar.
Menurut Anwar, Malaysia tidak pernah mengorbankan pendirian berhubung krisis Myanmar atau menarik balik bantahan terhadap penganiayaan etnik Rohingya dan kumpulan etnik lain.
“Kita tidak pernah dengan kerjasama yang diperolehi daripada Kerajaan Myanmar itu meninggalkan prinsip kita, bantahan kita, pendirian kita seperti yang disuarakan dan mengekalkan Five-Point Consensus yang diterima pakai oleh semua negara ASEAN,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa setakat ini tiada laporan mengenai tekanan terhadap 10,476 rakyat Myanmar yang telah pulang, berdasarkan pemantauan risikan Malaysia.
Katanya, kepulangan mereka dilaksanakan berdasarkan jaminan Safe and Dignified Return, iaitu kepulangan yang selamat dan bermaruah.



