CYBERJAYA — Ketua Penerangan PAS Malaysia merangkap Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari mendakwa jawapan Perdana Menteri berhubung isu kawasan seluas 5,207 hektar semakin mengelirukan, khususnya apabila naratif kerajaan didakwa berubah dalam tempoh yang singkat.
Dalam satu kenyataan di Facebook hari ini, Fadhli berkata beliau menyaksikan sendiri jawapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat dan mengharapkan penjelasan yang tegas bahawa angka 5,207 hektar tersebut tidak benar dan tidak wujud.
Namun menurutnya, jawapan yang diberikan hari ini berbeza berbanding penafian keras Perdana Menteri sebelum ini, apabila isu tersebut digambarkan sebagai satu fitnah dan pembohongan.
“Kalau minggu lepas ia digambarkan sebagai cerita rekaan, hari ini ia diakui wujud tetapi dikatakan bukan milik mana-mana negara kerana masih dalam kawasan rundingan yang belum dimuktamadkan,” katanya.
Fadhli menyifatkan istilah “bukan milik sesiapa” dalam isu sempadan negara sebagai sesuatu yang membimbangkan, sambil mengingatkan bahawa banyak wilayah di dunia hilang bukan kerana peperangan, tetapi akibat ketidakjelasan tuntutan dan pendirian yang longgar.
Beliau turut mempersoalkan kenyataan kerajaan yang menegaskan tiada penyerahan tanah sebagai pampasan, namun pada masa sama menyebut keperluan rundingan berkaitan pampasan tanah.
“Jika tiada konsep pampasan, mengapa istilah pampasan digunakan? Pampasan kepada siapa dan atas dasar apa?” soalnya.
Menurut Fadhli, walaupun kerajaan menyatakan sempadan kawasan itu belum dimuktamadkan sejak sekian lama, terdapat memorandum persefahaman yang telah ditandatangani serta angka keluasan dan titik sempadan yang disebut secara terperinci oleh pihak Indonesia.
Beliau menegaskan bahawa persoalan utama rakyat adalah sama ada hasil rundingan terkini menyebabkan kawasan yang sebelum ini berada dalam zon tuntutan atau pengaruh Malaysia kini diiktiraf berada di bawah pentadbiran Indonesia.
“Jika ya, itu bermakna jajaran sempadan berubah. Dalam bahasa mudah, peta negara kita berubah,” katanya.
Fadhli turut melahirkan kekecewaan kerana Parlimen didakwa belum dibekalkan peta penuh sebelum dan selepas rundingan, termasuk asas koordinat dan justifikasi terperinci berdasarkan perjanjian lama.
“Kedaulatan negara bukan perkara yang boleh dijelaskan dengan ayat umum. Rakyat berhak melihat bukti, peta dan dokumen,” katanya.
Beliau menegaskan PAS menyokong hubungan baik dengan Indonesia, namun menolak pendekatan yang menurutnya menjadikan rakyat sebagai penonton tanpa maklumat dalam isu berkaitan sempadan dan kedaulatan negara.



