JAIPk Siasat Raja Bomoh Berkaitan Ritual Tolak Banjir

- Advertisement -

IPOH – Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) membuka kertas siasatan terhadap seorang individu dikenali sebagai Raja Bomoh berhubung satu ritual menolak banjir dilakukan di Dataran JPS di Teluk Intan yang videonya tular di media sosial pada Rabu.

Pengarah JAIPk, Datuk Mohd Yusop Husin berkata, kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 14 Enakmen Jenayah Syariah Perak 1992 atas kesalahan mencela dan menghina agama Islam.

“JAIPk membuka kertas siasatan berhubung perkara ini.

“Orang ramai dinasihatkan agar tidak terpengaruh dengan perkara-perkara seumpama ini dan menjauhi apa juga amalan yang menjurus kepada khurafat,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Rabu.

Video berdurasi 25 minit yang tular di Facebook itu memperlihatkan Raja Bomoh bersama seorang wanita dikenali sebagai ‘Puteri Zaleha’ membuat ritual tepung tawar dipercayai untuk menolak kejadian banjir.

Mereka menggunakan bahan-bahan seperti beras, kunyit, bunga dan daun-daun kayu. Turut kelihatan di hadapan mereka ialah surah Yasin dan kitab suci al-Quran.

Lelaki yang memakai kot hitam, bertengkolok dan berselempang merah menyebut upacara yang dijalankan itu adalah upacara petua-petua di zaman dahulu.

“Kita minta semua tempat di Malaysia turun air, bukan kata di Teluk Intan sahaja, tapi seluruh Malaysia, seluruh kepulauan Melayu dan seluruh dunia,” katanya dalam rakaman video tular tersebut.

Dalam rakaman itu, ‘Puteri Zaleha’ juga didengar menyanyikan lagu ‘Mayang Sari’.

Menurut ‘Puteri Zaleha’, mereka merafak sembah kepada sungai yang berada di Teluk Intan dan telah melaksanakan tanggungjawab dengan mengharapkan semua penduduk hidup aman damai. – Sinar

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat