Mustahil Kerajaan Mampu Tampung Subsidi RM77.3 Bilion, Kata Johari

KUALA LUMPUR – Kerajaan sebenarnya tidak mampu untuk menampung subsidi RM77.3 bilion yang menjadi jumlah paling tinggi dalam sejarah berdasarkan kepada perangkaan pendapatan negara.

Bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani sebaliknya berkata, pendapatan kerajaan sekitar RM220 bilion hingga RM230 bilion, tetapi subsidi pula sekitar RM77 bilion.

Tegas Johari, mustahil untuk kerajaan tampung jumlah subsidi yang besar seperti ini.

“Daripada jumlah itu, RM37.3 bilion untuk petrol, diesel dan LPG serta skim penstabilan minyak masak peket satu kilogram berjumlah RM4 bilion.

“Itu saja sudah lebih kurang RM40 bilion. Belanjawan asal untuk subsidi ini sekitar RM31 bilion saja. Terdapat perbezaan yang ketara sekitar RM40 bilion. Dari mana datangnya perbezaan itu,” katanya dalam Forum Berani Benar: Malaysia Bakal Menjadi Sri Lanka? lapor BH malam tadi.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Aziz sebelum ini berkata, kerajaan menampung subsidi RM77.3 bilion meliputi petrol, diesel, gas petroleum cecair (LPG), minyak masak, tepung dan tarif elektrik.

Subsidi kepenggunaan itu adalah bagi mengurangkan kos sara hidup rakyat malahan ia belum lagi termasuk bantuan kebajikan masyarakat lain.

Mengulas lanjut, Johari berkata subsidi bersasar adalah langkah bagi mengatasi perbelanjaan subsidi kepenggunaan yang besar oleh kerajaan, yang mana ia boleh dilaksanakan dengan cara golongan B40 mendapat subsidi, M40 memperoleh sebahagian manakala T20 langsung tidak layak.

Beliau memberikan contoh, semua golongan pendapatan isi rumah pada masa ini akan mendapat manfaat subsidi jika mengisi petrol menggunakan RON95, ketika harga bahan api itu adalah jauh lebih rendah berbanding Arab Saudi yang menjadi pengeluar minyak terbesar dunia.

“Tambahan subsidi ini diberikan kepada orang yang salah. Seperti juga minyak masak, ke mana ia pergi hingga rakyat yang memerlukan tidak dapat minyak masak subsidi. Setiap bulan, kerajaan memberikan subsidi sebanyak 60,000 metrik tan minyak masak atau 60 juta pek minyak masak satu kilogram.

“Isi rumah ada lebih kurang lapan juta. Jika diikutkan setiap isi rumah dapat tujuh pek minyak masak sebulan, tetapi apa yang berlaku ketika ini, rakyat tidak dapat minyak masak itu. Sebab apa tak dapat, ia adalah disebabkan penguatkuasaan kita,” katanya.

Ditanya dari mana sumber kewangan kerajaan untuk menampung perbelanjaan bagi subsidi yang besar, Johari berkata ia adalah daripada cukai, dividen syarikat berkaitan kerajaan seperti PETRONAS dan royalti.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa sumber berkenaan tidak boleh digunakan bagi menampung perbelanjaan subsidi seperti yang dilaksanakan ketika ini kerana pendapatan daripada dividen seperti PETRONAS patut dimanfaatkan sebagai simpanan untuk waktu sukar seperti dialami dua tahun kebelakangan ini disebabkan pandemik COVID-19.

“Kalau kita ambil pendapatan ini dan salur kepada subsidi, ekonomi tidak berjalan dengan cekap. Ia perlu dijadikan simpanan, bila sukar dapat gunakan duit ini. Tetapi kita tak buat, kita pakai habis semua duit ini.

“Akibatnya, jadi seperti PETRONAS ketika ini apabila penarafan turun dari AA kepada BBB. Semua masalah kita ambil dan guna duit PETRONAS. Perkara ini perlu diselesaikan dengan segera. Urus dan kawal dengan baik,” katanya.