Pelik Kedudukan Zuraida Dalam Kabinet Tak Tergugat

KUALA LUMPUR – Veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Samad meluahkan rasa pelik apabila kedudukan Datuk Zuraida Kamaruddin dalam Jemaah Menteri masih utuh tak terusik meskipun telah bertukar parti dari Bersatu kepada Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Shahrir yang juga Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru berkata, penghijrahan Zuraida tetap selamat dan tidak juga dicabar oleh Bersatu.

“Antara begitu banyak kepelikan politik selepas PRU-14 ialah keboleha Zuraidah dan dua lagi ahli Parlimen kekal dalam kerajaan MOU pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri.

“Sungguhpun Zuraida sudah lompat keluar dari Bersatu untuk menyertai parti berjenama barunya, iaitu Parti Bangsa Malaysia, jawatannya sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi tetap selamat dan tidak juga dicabar oleh Bersatu,” kata Shahrir pada Khamis.

Tambah beliau, pandangan istimewa terhadap Zuraida sebagai menteri tetap kekal walaupun berbagai jawatan dalam agensi di bawah kementeriannya diisi oleh pegawai-pegawai partinya.

“Ini sungguh istimewa kerana PBM bukan pun diisytihar komponen dalam Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) ataupun Gabungan Parti Sarawak (GPS). Saya libatkan GPS kerana dua ahli Parlimen PBM dari Sarawak.

“Tapi, PBM adalah ahli komponen menanti BN. Itu keistimewaan parti Zuraida,” dakwa beliau.

Konon katanya , kerana PBM sebuah parti politik ‘multiracial’ dan BN tidak ada komponen bersifat sedemikian setelah Gerakan meninggalkan BN.

“Tapi Gerakan menyertai BN dengan kekuatan sebuah kerajaan negeri. PBM tidak membawa apa-apa kekuatan. Malah kalah teruk dalam PRN Johor. Ini, kepelikan politik pasca-PRU14,” ujarnya.

Dilaporkan pada Rabu lalu, PBM menghantar permohonan rasmi untuk menyertai BN bagi mendepani PRU-15 namun, masih belum dijawab.