Tak mahu campur urusan mahkamah punca Muhyiddin ditentang

- Advertisement -

KUALA LUMPUR -Tan Sri Muhyiddin Yassin mendedahkan kedudukannya sebagai Perdana Menteri tidak disenangi sesetengah pihak kerana ketegasan beliau enggan mencampuri urusan mahkamah.

“Saya tahu bahawa mereka kurang senang dengan ketegasan saya untuk tidak melayan beberapa tuntutan mereka.

“Ini termasuk desakan supaya saya mencampuri urusan mahkamah untuk membebaskan beberapa individu yang sedang didakwa atas kesalahan jenayah,” dedah beliau dalam perutusan khas pada Rabu.

Bukan itu sahaja, Muhyiddin juga mengakui dituduh menderhaka kepada Raja.

“Saya juga telah dituduh menderhaka kepada Raja sedangkan apa yang saya lakukan adalah semata-mata untuk memelihara keluhuran Perlembagaan dan mempertahankan kemuliaan institusi Raja Berperlembagaan.

“Saya tidak akan mengorbankan prinsip saya dan membelakangi sumpah jawatan saya untuk menunaikan segala kewajipan dengan jujur, menumpahkan taat setia kepada Raja dan Negara serta memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan,” ujar beliau.

Susulan kemelut politik, Muhyiddin memohon maaf kepada rakyat kerana dalam mendepani pandemik Covid-19 kita terpaksa berdepan krisis pentadbiran.

“Terlebih dahulu saya ingin memohon maaf kepada saudara dan saudari sekalian kerana dalam keadaan negara kita sedang berhadapan dengan cabaran besar menangani pandemik Covid-19, saya terpaksa tampil menjelaskan kedudukan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan keabsahan saya sebagai Perdana Menteri.

“Semalam saya telah menerima warkah daripada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang memaklumkan kepada saya terdapat lapan orang Ahli Parlimen UMNO telah menulis surat kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat bahawa merekatelah menarik sokongan kepada saya.

“Di dalam warkah ini, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah memetik dua peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan. Pertama, Perkara 43 (2) (a) iaitu: “Yang di-Pertuan Agong hendaklah terlebih dahulu melantik sebagai Perdana Menteri untuk mempengerusikan Jemaah Menteri seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat itu”;

“dan Kedua, Perkara 43 (4) iaitu: Jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka Perdana Menteri hendaklah meletakkan jawatan
Jemaah Menteri melainkan jika atas permintaannya Parlimen dibubarkan oleh Yang di-Pertuan Agong”, katanya.

Muhyiddin turut memaklumkan kronologi perjalanan perkara itu.

“Sehubungan itu, saya telah dititah menghadap oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada jam 11.00 pagi hari ini.

“Dalam majlis menghadap pagi ini, saya telah menyembah maklum kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bahawa saya telah menerima sejumlah surat akuan daripada Ahli- Ahli Dewan Rakyat yang meyakinkan saya bahawa saya masih mempunyai kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat pada masa ini.

“Sehubungan itu, peletakan jawatan saya di bawah Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan adalah tidak berbangkit,” tegas beliau

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat