KUALA LUMPUR – Jawatan Perdana Menteri bukanlah sesuatu yang kekal, namun perjuangan membela nasib rakyat dan mengangkat martabat negara tidak boleh terhenti.
Itu ikrar Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena genap empat tahun beliau mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri, dengan menegaskan bahawa amanah kepimpinan mesti sentiasa berpaksikan kepentingan rakyat, bukan kedudukan atau kelangsungan seseorang individu.
“Perdana Menteri boleh datang dan pergi, tetapi nasib rakyat mesti terus dibela, dan martabat negara mesti terus diangkat,” katanya menerusi kenyataan sempena ulang tahun pentadbirannya.
Anwar berkata, empat tahun menerajui negara bukan tempoh singkat, apatah lagi ketika Malaysia berdepan pelbagai cabaran termasuk tekanan ekonomi, keterbatasan kedudukan kewangan negara dan peningkatan kos sara hidup yang membebani rakyat.
Beliau turut mengakui kelemahan tatakelola serta amalan rasuah yang sekian lama berakar menjadi antara cabaran besar yang menuntut keberanian untuk melakukan perubahan.
Menurutnya, sejak hari pertama memasuki Perdana Putra, tekad beliau adalah untuk memulihkan negara dan memperbaiki kehidupan rakyat, meskipun perjalanan melaksanakan tanggungjawab itu bukan sesuatu yang mudah.
Mengimbas pencapaian sepanjang empat tahun pentadbiran Kerajaan MADANI, Anwar berkata beberapa asas penting telah dibina, antaranya memperkemas kedudukan kewangan negara, memperbaiki tatakelola, menggerakkan reformasi institusi serta memperkukuh kebajikan rakyat.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa perjalanan masih jauh dan kejayaan negara tidak seharusnya dinilai semata-mata berdasarkan pencapaian dasar atau kedudukan ekonomi.
Sebaliknya, ukuran sebenar kemajuan adalah apabila kehidupan setiap keluarga menjadi lebih baik, rezeki lebih terjamin dan masa depan anak-anak lebih terbela.
Justeru, beliau menegaskan usaha meringankan beban rakyat serta membuka lebih banyak ruang dan peluang yang adil untuk semua akan terus menjadi perjuangan yang perlu digalas.
Anwar turut merakamkan penghargaan atas kesabaran, teguran, doa dan kepercayaan rakyat sepanjang empat tahun beliau menerajui negara, sambil berikrar mencurahkan segala daya dan upaya selagi diberikan amanah.
“Selagi diberi amanah ini, akan saya curahkan segala daya dan upaya demi rakyat dan negara yang saya cintai,” katanya.



