DNB: Fahmi seperti tikus sedang baiki labu?

- Advertisement -

Kebanyakan isu yang ditimbulkan sepanjang pelaksanaan 5G diterajui Digital Nasional Berhad (DNB) adalah tidak berasas, yang sengaja dicetuskan dengan niat jahat tidak mahukan sebarang perubahan tata cara dalam industri telekomunikasi negara.

DNB ditubuhkan untuk menjayakan agenda kerajaan yakni menjadikan internet sebagai utiliti awam dengan kualiti terbaik dan harga mampu milik yang boleh merapatkan jurang digital bandar dan luar, selepas berpuluh tahun rakyat Malaysia diperah wang dan dijerat perangkap tuntutan komersial syarikat telekomunikasi.

Sepanjang DNB menjadi pemborong tunggal rangkaian negara, prestasi syarikat ini cukup cemerlang. Sejak mula melaksanakan kerja-kerja pada hujung 2021, tahap capaian 5G di kawasan berpenduduk negara setakat Mei 2023 sudah mencapai 59.5%.

Kita bandingkan dengan tahap capaian 4G yang didominasi telko sejak 2013 yang sehingga kini masih belum mencapai 100%, jauh ketinggalan berbanding negara jiran.

DNB yang dimiliki sepenuhnya kerajaan dijangka bernilai RM15 bilion dalam tempoh 15 tahun lagi menurut penilaian Maybank Investment Bank, menjadikannya model terbaik pelaburan bernilai tinggi dibuat kerajaan.

Bagaimanapun semua prestasi ini tidak dipandang Kerajaan Perpaduan yang menjadikan DNB sasaran membuktikan komitmen mereka terhadap tata kelola pentadbiran yang baik, walaupun tiada bukti sebarang salah guna kuasa wujud.

Usaha dikemudi Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil ini bak tikus membaiki labu, tindakan sia-sia yang hanya merosakkan sesuatu yang sudah cukup baik dan indah.
Pertamanya, Fahmi lantang menimbulkan pelbagai persoalan tentang kecekapan DNB, dan setiap kali itu jugalah terbongkar yang beliau sendiri tidak tahu dan faham apa yang disebutkan.

Beliau pernah mencabar kewibawaan Ericsson sehingga memaksa syarikat antarabangsa itu mengeluarkan kenyataan yang mereka memenangi kontrak DNB secara merit. Wujud juga “tuduhan “Putrajaya yang proses pembidaan tender itu dibuat dengan tidak telus walaupun DNB sudah memaklumkan yang tawaran dibuat Ericsson bukan sekadar jauh lebih baik daripada aspek teknikal tetapi juga RM700 juta lebih murah berbanding syarikat lain.

Fahmi juga dalam gaya merentan mengecam fakta tahap liputan DNB secara terbuka di Twitter, mendakwanya tidak disahkan oleh Suruhanjaya Multimedia dan Komunikasi Malaysia (SKMM). Tetapi sekaran, beliau pula yang hampir setiap bulan mengumumkan progress terkini liputan, mungkin tidak sabar melihatnya mencapai 80% yang membolehkan pemborong rangkaian kedua 5G mula bekerja.

Ahli Parlimen Pantai Dalam itu juga berulang kali menimbulkan dakwaan yang DNB adalah satu bentuk monopoli yang merugikan negara, tuduhan yang kedengaran gah tetapi hanya menunjukkan kedangkalan pemahaman tentang ilmu ekonomi berskala dan peri penting monopoli utiliti awam demi manfaat terbaik rakyat.

Gaya berkongsi maklumat menteri komunikasi itu sering mewujudkan persekitaran kecurigaan. Misalnya, sebulan sebelum pengumuman peralihan pendekatan pelaksanaan 5G daripada pemborong tunggal (SWN) kepada dwi pemborong (DWN), Fahmi memberi jaminan yang pelaksanaan 5G negara hanya akan dibuat menerusi DNB, susulan pendedahan Reuters yang kerajaan akan mengumumkan pelantikan kontraktor kedua seawal tahun depan.

Dalam konteks gaya kerja kerajaan, jaminan Fahmi ini boleh dianggap usaha memperdaya persepsi awam kerana laporan Reuters itu benar-benar berlaku dan sahih.

Fahmi juga dalam usaha mengekang pentadbiran pelaksanaan 5G bertindak tanpa kehadiran dan sokongan pemegang taruh utama. Dalam tempoh masa krisis perubahan SWN kepada DWN, beliau membuat keputusan tanpa nasihat dan pandangan Ketua Pegawai Eksekutif DNB kerana jawatan itu belum diisi selepas CEO terdahulu tidak disambung perkhidmatan dan hebahan maklumat yang tepat tidak diselia oleh Pengarah Media dan Komunikasi Strateik Jabatan Perdana Menteri yang dipecat berkaitan “isu prestasi” , malah Ketua Setiausaha Utama (KSU) Kementerian Komunikasi dan Digital juga ditukar.

Semua ini berlaku dalam tempoh masa getir “pemecahan monopili DNB”, mencetuskan persoalan jika semua individu penting ini dipinggirkan Fahmi, maka siapa yang membisikkan nasihat kepadanya.

Saranan dan analisis pakar tentang keperluan tidak masuk campur dalam urusan DNB selaku pelaksana utama rangkaian 5G negara diabaikan. Peluang untuk membetulkan semula industri telekomunikasi negara- yang antara paling mahal tetapi kualiti perkhidmatan paling buruk di Asia Tenggara- diabaikan.

Malah peluang untuk membuktikan kepada dunia yang pelaburan dibuat kerajaan, dalam kes ini DNB, mampu memberikan pulangan terbaik bukan hanya daripada sudut kewangan

tetapi juga manfaat sosial dan ekonomi kepada rakyat dilepaskan begitu sahaja.

Semua ini hanya semata-mata kerana mengikut tanpa pedoman tuduhan tidak berasas yang DNB ini bersifat monopoli tanpa betul-betul memastikan adakah monopoli ini baik atau tidak untuk rakyat. Berulang kali sudah dinyatakan bukan semua monopoli bersifat buruk, industri telekomunikasi sejak 1990-an lagi sudah tidak dimonopoli satu entiti tetapi diagihkan kepada pelbagai syarikat swasta, adakah ia berjaya memberikan manfaat terbaik kepada rakyat?

Menteri komunikasi terdahulu antaranya Gobind berjuang melawan telko bagi mendapatkan harga internet lebih murah, Anwar Musa pula melancarkan JENDELA yang merangsang penglibatan telko dalam pelaksanaan 4G, tetapi Fahmi nampak gayanya secara sedar atau tidak sedang membantu telko mengukuhkan lagi cengkaman dan status quo yang membebankan rakyat.

Malah paling lucu, Fahmi memberi jaminan yang harga 5G sebelum dan selepas pelaksanaan SWN kepada DWN tidak akan banyak berubah, jadi apa keperluan mengubahnya jika tiada keuntungan kewangan lebih besar kepada rakyat? Perkara sia-sia, sejenis situasi buat-buat sibuk biar nampak bekerja.

Motif tindakan dan punca kejadian kesemua ini tidak dapat dipastikan, kita hanya boleh berspekulasi misalnya mungkin Fahmi seronok bayar mahal tapi kualiti teruk untuk internet dibekalkan telko.

Tapi bukan semua orang kaya dan mampu seperti Fahmi, rakyat Malaysia berhak mendapat yang terbaik dan kita patut mempertanggungjawabkan dan mempersoalkan niat sebenar Kerajaan Perpaduan dalam pengenalan pemborong kedua 5G.

Oleh,

Puteri Maisara Kassim,
Petaling Jaya

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat