KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini, menolak permohonan ibu bapa Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin untuk membatalkan pertuduhan serta dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan mengabaikan kanak-kanak autistik itu.
Hakim Roszianayati Ahmad membuat keputusan itu selepas mendapati pertuduhan dihadapi Zaim Ikhwan Zahari, 30, dan Ismanira Abdul Manaf, 30, tidak cacat serta memenuhi inti pati pertuduhan bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.
Pasangan suami isteri itu selaku pemohon, memohon dilepas dan dibebaskan daripada semua pertuduhan dikenakan terhadap mereka pada 13 Jun tahun lalu, selain prosiding perbicaraan ditetapkan di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya ditangguhkan.
Menerusi afidavit sokongan yang difailkan, Zaim Ikhwan dan Ismanira mendakwa pertuduhan jenayah dikenakan terhadap mereka tidak mendedahkan sebarang kesalahan bawah Seksyen 31 Akta Kanak-Kanak 2001.
“Kami membaca pertuduhan itu dan tidak menemui sebarang butiran mengenai kesalahan yang didakwa. Kami tidak tahu bagaimana untuk mempertahankan diri berdasarkan pertuduhan.
“Kami tidak dapat memberi arahan kepada peguam bela kerana tidak menemui butiran dalam pertuduhan yang boleh dijawab, dan tidak tahu dengan tepat apa yang dituduh pendakwaan terhadap kami. Oleh itu, kami tidak dapat menyediakan pembelaan,” katanya dalam afidavit yang dilihat media, lapor BH di Shah Alam pada Selasa.
Mereka juga percaya pertuduhan dihadapi itu tidak mematuhi Seksyen 153 dan 154 Kanun Tatacara Jenayah, sekali gus tidak diberi hak perlembagaan untuk perbicaraan adil yang dijamin bawah Perkara 5 dan 8 Perlembagaan Persekutuan.
Pada 13 Jun lalu, Zaim Ikhwan dan Ismanira mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, atas satu pertuduhan mengabaikan kanak-kanak autistik berusia enam tahun itu dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal terhadapnya di sekitar Jalan PJU Damansara Damai pada jam 12 tengah hari 5 Disember hingga 9.55 malam 6 Disember 2023.
Mayat Zayn Rayyan ditemui dalam keadaan terbaring di aliran anak sungai berhampiran rumahnya di Apartmen Idaman, Damansara Damai, dekat sini, selepas dilaporkan hilang sehari sebelumnya.