Keperluan Kestabilan Kerajaan Mendepani Krisis Ekonomi 2023-2024

- Advertisement -

Oleh: Prof. Madya Dr. Mohd Yusof Saari 

Kestabilan adalah sangat penting, terutamanya bagi negara membangun seperti Malaysia. Kajian dan pengalaman negara-negara membangun di dunia mendapati pembangunan ekonomi boleh dicapai melalui kestabilan politik. Negara mungkin mempunyai peluang untuk melaksanakan pembangunan ekonomi dengan lebih cepat dan berkesan dalam tempoh yang lebih singkat sekiranya berlaku kestabilan politik.

Dalam konteks ekonomi pada ketika ini kestabilan politik adalah penentu kepada pemulihan dan pembangunan ekonomi Malaysia. Pertama, ayuh kita memahami prospek ekonomi 2023-2024.

Pertumbuhan ekonomi dunia yang diunjur menguncup pada 2023 dan 2024 memerlukan tadbir urus ekonomi yang cekap dalam pemulihan ekonomi Malaysia. Hampir pasti berlaku penguncupan ekonomi dunia pada tahun 2023 dengan jangkaan impaknya sehingga 2024. Bank Dunia mengunjurkan pertumbuhan ekonomi dunia 2022 menyusut kepada 2.9% berbanding 5.7% pada 2021. Organisation for Economic Co-operation and Development (OECD) juga mengunjurkan pertumbuhan ekonomi yang lebih perlahan pada 2022 berbanding dengan unjuran awal (lihat Gambarajah 1). Pada tahun 2023 hingga 2024, ekonomi dunia dijangka bertumbuh pada kadar 3% setahun, iaitu situasi yang tidak banyak berbeza berbanding dengan tahun 2022. Unjuran ini bersandarkan kepada beberapa persekitaran ekonomi termasuklah pemulihan impak peperangan Rusia-Ukraine yang perlahan, tekanan inflasi yang semakin mendalam dan krisis kos sara hidup.

Apa makna kadar unjuran ekonomi global ini kepada Malaysia? Sebuah negara kecil yang terbuka dan berdagang, kelembapan ekonomi dunia turut memperlahan pertumbuhan ekonomi Malaysia. Situasi

yang dihadapi oleh Malaysia pada ketika ini sebahagian besarnya dipengaruhi oleh persekitaran ekonomi global. Kementerian Kewangan Malaysia pada pembentangan Bajet 2023 lalu telah mengunjur pertumbuhan KDNK sekitar 4% hingga 5% untuk tahun 2023. Untuk rekod, pertumbuhan ekonomi 2022 diunjurkan lebih tinggi pada anggaran 6.5% hingga 7.0%. Pertumbuhan ekonomi yang lebih perlahan untuk tahun mendatang akan memberi cabaran kepada Malaysia dalam proses pemulihan ekonomi secara keseluruhannya termasuklah “pemulihan” kos sara hidup.

Gambarajah 1. Unjuran ekonomi global yang perlahan 2023-2024

Sumber: OECD Economic Outlook (https://www.oecd.org/economic-outlook/)

Gambarajah 1 dan penerangan di atas jelas menunjukkan keadaan ekonomi dunia dan Malaysia yang menguncup pada tahun 2023 hingga 2024. Keadaan lebih parah jika ekonomi dunia mencatat pertumbuhan negatif dan mengalami kemelesetan. Kedua, ayuh kita memahami bagaimana kestabilan politik beberapa dekad yang lalu menyumbang kepada pembangunan ekonomi.

Kestabilan politik menyumbang kejayaan pemulihan krisis ekonomi. Pertumbuhan KDNK Malaysia sejak 1961 menunjukkan pergerakan ekonomi yang berada pada trajektori menaik. Malaysia adalah satu daripada dua belas negara berpendapatan rendah yang telah merekodkan pertumbuhan purata pada kadar purata 6% setahun (lihat Gambarajah 2). Pertumbuhan yang tinggi ini telah membantu pembangunan sosio-ekonomi rakyat dan merapatkan jurang pendapatan.

Seperti yang ditunjukkan dalam Gambarajah 2, Malaysia menyaksikan penguncupan dalam pertumbuhan KDNK sejak mencapai kemerdekaan akibat daripada ekonominya yang terdedah kepada beberapa krisis ekonomi global. Antaranya, krisis minyak dan kewangan pada pertengahan 1970-an; imbangan fiskal pembayaran dan krisis kewangan pada pertengahan 1980-an; dan krisis kewangan Asia pada tahun 1997 mengakibatkan penguncupan mendadak KDNK kepada -7.4% pada 1998. Pada abad ke-21, tercetusnya kewangan global dan krisis ekonomi seterusnya pada tahun 2008 sekali lagi menjerumuskan ekonomi Malaysia ke dalam penguncupan ekonomi. Semua krisis ekonomi ini berjaya ditangani oleh Malaysia bagi memastikan pertumbuhan ekonomi kembali kepada landasan.

Ketidakstabilan politik sejak awal 2020 bersama-sama dengan permulaan pandemik COVID-19 telah menyebabkan penguncupan mendadak dalam KDNK Malaysia, yang menguncup sebanyak -5.6% pada 2020. Persekitaran politik yang tidak menentu bersama dengan kejatuhan ekonomi akibat wabak COVID-19 itu telah memberi tekanan kepada Malaysia, iaitu keadaan yang tidak pernah berlaku sejak kita mencapai kemerdekaan pada 1957. Tadbir urus ekonomi yang tidak cekap semasa tempoh pandemik seperti langkah penutupan perniagaan yang lama tanpa mengira aspek sosio-ekonomi

menambah “kecederaan” ekonomi. Oleh itu, perubahan kepimpinan dijangka mampu memberi persekitaran yang menggalakkan kepada pemulihan dan pertumbuhan ekonomi.

Jelas bahawa pengalaman Malaysia telah menunjukkan kestabilan politik penentu kepada tadbir urus ekonomi yang cekap. Beberapa bulan lagi kita akan memasuki tahun 2023 dan ini bermakna kita telah dekat menghadapi fasa krisis ekonomi global. Justeru itu, kestabilan politik diperlukan bagi menghadapi situasi tersebut. Keputusan pembubaran Parlimen bagi mendapatkan kestabilan politik adalah langkah tepat yang diambil bagi memastikan kesediaan Malaysia menghadapi krisis ekonomi tahun hadapan. Jika pilihan raya umum diadakan pada tahun 2023, kita berkemungkinan menghadapi risiko berganda iaitu ketidakstabilan politik dan krisis ekonomi global. Gambarajah 3 berikut memberi petunjuk kepada kita bahawa negara-negara di dunia juga mengadakan pilihan raya umum ketika ekonomi tidak berada dalam krisis.

Gambarajah 3. Trend pertumbuhan ekonomi dunia dan senarai pilihan raya yang diadakan sebelum fasa kemelesetan ekonomi dunia, 1996-2021

Sumber: Word Development Indicator (Bank Dunia) & International Foundation for Electoral Systems (IFES).

Penulis adalah Ketua Ekonomi Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan (EU-ERA)

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat