Jurulatih Sedia Bertanggungjawab Insiden Babit Ziyad

- Advertisement -

SEPANG – Jurulatih lontar peluru para negara, Mohd Faizol Harun mengakui bertanggungjawab atas insiden menimpa anak didiknya, Muhammad Ziyad Zolkefli yang menyaksikan atlet itu terlepas pingat emas pada temasya Sukan Paralimpik 2020 di Tokyo.

Katanya, sebagai jurulatih dan individu yang dekat dengan Ziyad, dia bertanggungjawab di atas semua perkara yang berlaku.

“Saya mohon kepada semua tidak perlu mencari siapa yang bersalah dalam hal ini. Sebagai jurulatih saya bertanggungjawab,” katanya pada sidang media sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, lewat petang tadi.

Bagaimanapun, menceritakan semula detik ‘hitam’ yang berlaku di Stadium Olimpik Tokyo itu, Faizol menegaskan mereka tiba di bilik menunggu tepat pada masanya iaitu jam 5.55 petang seperti ditetapkan dalam peraturan.

Katanya, mereka tiba di trek memanaskan badan pada jam 4.15 petang sebelum Ziyad memulakan sesi memanaskan badan pada jam 4.45 petang.

“Dia (Ziyad) memanaskan badan sehingga jam 5.30 petang sebelum kami bergerak ke bilik menungggu pada jam 5.45 petang. Kami sudah buat kiraan, jarak antara trek memanaskan badan lebih kurang 8 hingga 10 minit kalau jalan biasa tetapi 5 hingga 6 minit kalau berjalan dengan cepat.

“Kami pun bergerak ke bilik menunggu dan di depan kami ada atlet Greece yang jarak antara kami lebh kurang empat atau lima meter. Apabila sampai, mereka dibenarkan masuk tetapi kami ditahan. Bila kami tengok masa tepat jam 5.55 petang dan sepatutnya kami dibenarkan masuk.

“Kami merayu untuk dibenarkan masuk dan ketika itu atlet Australia dan Ecuador pun datang, mereka pun merayu. Kami terus merayu tetapi selepas itu penolong pengadil mengatakan kami ‘maaf, anda lambat’ yang mana jam digital yang ada di situ menunjukkan 5.56 petang. Memanglah 5.56 sebab kami sudah lama di situ kerana merayu.

“Selepas itu bila tahu pintu sudah ditutup, ada jurulatih Ukraine dua hingga tiga orang seperti melakukan provokasi ke atas penolong pengadil. Mereka kata kalau benarkan Ziyad masuk mereka akan buat protes.

“Selepas bercakap dengan ketua pengadil, Ziyad dibenarkan masuk,” katanya.

Mengulas lanjut, Faizol, berkata dia hanya mengetahui Ziyadi diklasifikasikan sebagai DNS (tidak bermula) selepas membuat lontaran ketiga yang menyaksikan jaguh negara itu memecahkan rekod dunia buat kali kedua dengan catatan 17.94 meter.

“Saya tidak tahu apa-apa. Kalau kami tahu awal saya memang tidak akan biarkan Ziyad bertanding sebab di Malaysia ada siaran langsung.

“Bila perkara itu berlaku, saya pun tidak pasti apa yang perlu dilakukan. Saya terus merujuk kepada pegawai MPM (Majlis Paralimpik Malaysia) dan ketua kontinjen (Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin). Saya ceritakan semula apa yang berlaku dan mereka buat rayuan,” katanya. – BH

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat