Akar umbi Umno akui tak senang penyasaran diesel, penswastaan MAHB

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Akar umbi Umno tidak senang dengan keputusan kerajaan berhubung penyasaran subsidi diesel dan penswastaan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), menurut seorang pemimpin parti.

Memetik laporan FMT, sumber yang enggan namanya disiarkan itu berkata, rasa tidak puas hati itu disampaikan oleh pemimpin bahagian dalam sebuah acara tertutup pada Isnin untuk menjelaskan dua isu itu.

Menurut sumber berkenaan, akar umbi berpandangan, penyasaran subsidi diesel yang dilaksanakan mulai 10 Jun itu sepatutnya ditangguhkan.

“Malah seorang pemimpin Umno yang sangat lantang menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penyasaran subsidi diesel belum patut dilaksanakan,” kata portal itu merujuk sumber.

Kerajaan Persekutuan sebelum ini mempertahankan penyasaran subsidi diesel di Semenanjung dengan alasan mekanisme yang menggantikan subsidi pukal itu akan menjimatkan RM4 bilion setahun untuk kerajaan.

Pada hari sama, Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh menyatakan sokongan pihaknya terhadap tindakan itu.

Menurutnya, perkara ini telah dicadangkan oleh Barisan Nasional (BN) ketika ia memerintah.

“Jelas (daripada acara pada Isnin) bahawa akar umbi dan kepimpinan tidak berkongsi sentimen yang sama mengenai isu ini,” kata sumber itu.

Kata sumber itu lagi, akar umbi juga tidak berpuas hati dengan cadangan menswastakan MAHB yang dihujani kritikan disebabkan penglibatan sebuah syarikat didakwa mempunyai kaitan dengan Israel.

Bulan lepas, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz mempertahankan keputusan kerajaan membenarkan Global Infrastructure Partners (GIP) memegang saham dalam MAHB.

Firma pelaburan BlackRock, yang berpangkalan di New York City, sedang dalam proses memperoleh GIP menerusi perjanjian berbilion dolar yang dibuat awal tahun ini.

Pengkritik pelan penswastaan MAHB, termasuk Pemuda Umno, menentang penyertaan GIP atas alasan BlackRock ‘mengaut keuntungan daripada genosid’ melalui kepentingannya dalam beberapa syarikat pertahanan Amerika Syarikat yang didakwa mengeluarkan senjata digunakan oleh Israel.

Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sejak itu berkata, pendirian parti konsisten dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, yang mempertahankan usaha penswastaan itu.

Timbalan Zahid, Datuk Seri Mohamad Hasan bagaimanapun mendakwa, ramai menteri parti menentang penjualan saham kepada GIP dan berharap perjanjian itu akan dikaji semula walaupun sudah berada pada peringkat lanjut.

Menepis komen timbalannya itu, Zahid berkata, ia sekadar pandangan peribadi Mohamad.

Menurut sumber itu, seorang bekas menteri Persekutuan turut menyatakan bantahannya terhadap rancangan penswastaan MAHB pada acara Isnin itu.

Sumber itu memberi amaran, rasa tidak senang dalam kalangan akar umbi berhubung dua keputusan itu boleh menjejaskan peluang gabungan perpaduan pada PRK Sungai Bakap dan Nenggiri akan datang.

“Umno akan dilihat sebagai terjejas dan tidak mampu membela orang Melayu.

“Ada kemungkinan kedua-dua isu ini akan memberi impak kepada pengundi Melayu pada pilihan raya,” kata sumber itu.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat