Lebih 500 sertai Karnival Komuniti Kempen Internet Selamat di Kota Kinabalu

KOTA KINABALU – Lebih 500 pengunjung menghadiri Karnival Komuniti Kempen Internet Selamat Daerah Kota Kinabalu 2026 anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di Gelanggang Futsal Kampung Darau Laut, di sini, hari ini.

Program yang menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat itu mengetengahkan pendekatan pendidikan digital yang lebih interaktif menerusi penggunaan teknologi Realiti Maya (VR), sekali gus memberi pengalaman pembelajaran yang lebih dekat dan menarik kepada pengunjung.

MCMC dalam kenyataannya memaklumkan, inisiatif perintis berkenaan diperkenalkan bagi meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai risiko dan cabaran di alam siber, selain menggalakkan amalan penggunaan internet yang lebih selamat, beretika dan bertanggungjawab.

Menurut kenyataan itu, penggunaan teknologi VR membolehkan peserta mengalami sendiri pelbagai situasi yang berkaitan dengan keselamatan dalam talian, sekali gus membantu meningkatkan kesedaran mengenai ancaman siber yang semakin kompleks pada masa kini.

Majlis perasmian karnival telah disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Ts. Mustapha Sakmud.

Beliau turut meluangkan masa melawat reruai pameran yang disediakan oleh pelbagai agensi serta menyantuni pengunjung dan komuniti setempat yang hadir memeriahkan program tersebut.

Selain memberi penekanan kepada aspek keselamatan digital, penganjuran karnival itu turut mengangkat identiti dan warisan budaya tempatan menerusi pelbagai aktiviti komuniti yang disediakan.

Antara acara yang mendapat perhatian pengunjung ialah pertandingan nyanyian lagu Bajau Samah yang menampilkan bakat masyarakat setempat, selain pertandingan e-sukan yang berjaya menarik penyertaan golongan muda.

Pendekatan tersebut dilihat sebagai usaha mengimbangi perkembangan teknologi digital dengan pemeliharaan budaya dan pengukuhan hubungan komuniti.

Bagi memperkukuh agenda literasi digital dalam kalangan masyarakat, karnival berkenaan turut menampilkan sesi Podcast Live bertemakan “Internet Selamat Tanggungjawab Bersama”.

Sesi tersebut menghimpunkan panel daripada pelbagai latar belakang yang berkongsi pandangan mengenai cabaran keselamatan siber serta peranan setiap lapisan masyarakat dalam mewujudkan persekitaran digital yang lebih selamat.

Panel yang terlibat ialah DSP Roziah Abdul Rashid dari Jabatan Siasatan Jenayah Sabah, Rektor UiTM Cawangan Sabah, Prof. Madya Dr. Rozita @ Uji Mohammed dan Unduk Ngadau Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026, Gelvia Vanessa Jenny.

Perbincangan itu antara lain menyentuh isu jenayah siber, keselamatan kanak-kanak dan remaja di internet, tanggungjawab pengguna media sosial serta kepentingan kerjasama antara keluarga, institusi pendidikan, agensi kerajaan dan komuniti dalam meningkatkan kesedaran digital.

Menurut MCMC, penganjuran karnival tersebut selaras dengan usaha berterusan kerajaan untuk memperkukuh perlindungan pengguna di alam siber, termasuk melalui pelaksanaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) yang mula berkuat kuasa pada 1 Januari 2026.

Akta tersebut bertujuan memperkukuhkan mekanisme perlindungan pengguna internet serta memastikan platform digital mengambil langkah lebih proaktif dalam menangani kandungan berbahaya dan risiko keselamatan dalam talian.

MCMC berkata, Karnival Komuniti Kempen Internet Selamat mencerminkan komitmen berterusan suruhanjaya itu dalam memperkasa masyarakat dengan pengetahuan, kesedaran dan kemahiran digital yang diperlukan untuk mendepani cabaran dunia siber yang sentiasa berkembang.

Menurutnya, melalui kerjasama erat antara agensi kerajaan, pemimpin komuniti, ibu bapa, institusi pendidikan dan masyarakat, usaha membina ekosistem digital yang lebih selamat, bertanggungjawab dan berdaya tahan dapat terus diperkukuh demi kesejahteraan rakyat.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat