Menteri KPKT & MOTAC Tidak Wajar Ganggu Pentadbiran PBT

- Advertisement -

OLEH: Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin

Pada tarikh 26 Jun 2023, Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) telah mengambil tindakan mengenakan kompaun terhadap seorang wanita bukan Islam kerana berpakaian tidak sopan apabila hanya berseluar pendek hingga pangkal paha di tempat awam.

Tindakan kompaun dikenakan terhadap wanita berusia 35 tahun itu ketika pemeriksaan mengejut di kedainya di Jalan Merbau, adalah mengikut Seksyen 34 (2)(b) Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MPKB-BRI) 2019.

Di dalam satu laporan berita lain wanita tersebut telahpun membayar kompaun dan wakil beliau turut menyatakan bahawa isu ini tidak perlu dipolitikkan kerana warga bukan Islam di Kelantan akur dengan peraturan yang telah ditetapkan oleh PBT dan Kerajaan Negeri.

Sewajarnya isu ini telah dianggap selesai dan tidak perlu dipanjangkan lagi, namun begitu selepas beberapa hari isu ini berlaku, dua menteri kerajaan persekutuan iaitu Menteri KPKT, Nga Kor Ming dan Menteri Pelancongan (MOTAC), Tiong King Sing telah mengeluarkan kenyataan mengecam Kerajaan Negeri Kelantan Darul Naim dengan melulu.

Sebagai Menteri KPKT, Nga Kor Ming sewajarnya perlu faham yang pihak berkuasa tempatan di mana-mana negeri di Malaysia mempunyai kuasa autonomi yang terhad.

Hal ini telah diterangkan secara khusus di dalam Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) – PBT di Semenanjung Malaysia, yang mana apa yang dilakukan oleh MPKB-BRI adalah sah dan tidak bercanggah dengan mana-mana undang-undang lain yang terpakai di Malaysia.

Malah, tindakan Menteri KPKT, yang seolah-olah ingin menjadi “Hero” kepada rakyat Malaysia yang berbangsa Cina dengan mencampuri urusan PBT tanpa sebarang sebab yang kukuh, telah menganggu sistem pentadbiran dan hubungan antara kerajaan negeri dan persekutuan yang pada ketika ini berada pada keadaan yang amat kritikal (bagi sesetengah negeri).

Tindakan Menteri KPKT ini juga seolah-olah ingin mencetuskan prejudis antara kaum di negeri Kelantan Darul Naim, sedangkan sejak sebelum Merdeka lagi rakyat pelbagai kaum di negeri pantai timur tersebut hidup dalam keadaan harmoni dan aman walaupun ditadbir oleh pemimpin konservatif Muslim.

Lebih menyedihkan lagi, Nga Kor Ming tidak berseorangan dalam mencetuskan kontroversi ini apabila Menteri MOTAC, Tiong King Sing turut mengeluarkan kenyataan bahawa tindakan MPKB-BRI itu akan memberikan impak negatif kepada industri pelancongan Negeri Kelantan.

Ini merupakan satu lagi kenyataan melulu dan tidak bertanggungjawab seorang menteri persekutuan kerana atas dasar apa dikatakan Kelantan akan menerima kekurangan pelancong akibat daripada undang-undang kecil yang telah dilaksanakan oleh PBT di negeri tersebut yang telah termaktub sekian lama.

Sebelum mengeluarkan apa-apa kenyataan seorang menteri persekutuan haruslah menyatakan fakta yang jelas, ini nampaknya tidak dilakukan oleh Menteri MOTEC sekalipun beliau mempunyai akses penuh kepada data pelancongan negara sama ada domestik ataupun antarabangsa.

Nasihat saya kepada kedua-dua menteri ini, sebelum mengeluarkan apa-apa kenyataan rasmi, fikir dahulu impak yang akan timbul akibat kata-kata mereka.

Tidak wajar sekiranya pemimpin di peringkat persekutuan mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan, semata-mata ingin menjadi jaguh yang mempertahankan sesuatu bangsa sahaja.

Keharmonian rakyat Malaysia berbilang kaum harus dipelihara dan tidak perlu kita mempolitikkan setiap isu yang pada dasarnya boleh diselesaikan secara mesyuwarah dan kesepakatan bersama.

Beliau adalah Timbalan Pengerusi Muafakat Nasional (MN)

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat