KUALA LUMPUR – Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul sekali lagi menjelaskan persidangan Parlimen ditangguhkan dari Jun ke Julai disebabkan permohonan kerajaan antaranya untuk menyediakan pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Penjelasan itu menyusul selepas Ketua Pemuda Pas Afnan Hamimi Taib Azamudden mendakwa perubahan tarikh mesyuarat kedua penggal keempat dari 23 Jun hingga 31 Julai kepada 21 Julai hingga 28 Ogos dibuat kerana pertelingkahan dalaman kerajaan.
Pada 23 Mei lalu, Johari menjelaskan alasan perubahan tarikh itu namun Afnan yang juga Ahli Parlimen Alor Setar dipetik lidah rasmi Pas, Harakahdaily, Ahad lalu membuat dakwaan berbeza.
Enggan mengulas lanjut dakwaan Afnan, Johari berkata ketua majlis iaitu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memohonnya susulan kerajaan masih memuktamadkan unjuran ekonomi dalam RMK13.
Katanya, keadaan itu berlaku disebabkan isu tarif dengan Amerika Syarikat (AS) menyebabkan kerajaan perlu mengubah unjuran kerana berlaku perubahan angka dalam menyediakan dokumen pembangunan negara terbabit.
Pada Mac lalu, Kementerian Ekonomi memaklumkan penyediaan dokumen RMK13 sedang dimuktamadkan sebelum dibentangkan di Parlimen pada Julai.
“Jadi kerajaan minta tangguh, bukan masalah saya. Saya cuma mengendalikan…jadi seeloknya tanya kerajaan,” lapor FMT pada Selasa.
Afnan dipetik Harakahdaily mendakwa, penangguhan sidang Parlimen berpunca pertelingkahan dalaman kerajaan menyebabkan Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli meletak jawatan sehingga menjejaskan perancangan negara.
Beliau merujuk tindakan Rafizi meletak jawatan susulan kekalahannya bagi jawatan timbalan presiden pada pemilihan PKR, 23 Mei lalu kepada Nurul Izzah Anwar.
Turut meletak jawatan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad yang gagal mempertahankan jawatan naib presiden PKR.
Johari turut menegaskan segala notis dikemukakan kepada Ahli Parlimen termasuk penangguhan mesyuarat kedua penggal keempat yang sepatutnya berlangsung bulan ini dibuat berdasarkan peruntukan Dewan Rakyat.
Menurutnya, permohonan tarikh penangguhan dianjak ke hujung Julai itu atas permintaan kerajaan dan menafikan pihaknya lewat mengemukakan notis terbabit.
“Kerajaan yang memohon waktu persidangan itu. (Di pihak Parlimen) kita tetapkan tiga kali setahun. Mesyuarat pertama (berlangsung) awal tahun, pertengahan tahun, hujung tahun.
“Bila kerajaan mohon kita tengok sesuai atau tidak dan bantu (uruskan tarikh mesyuarat),” katanya.