52,000 Kematian Di Seluruh Dunia, Lebih Sejuta Positif Jangkitan Covid-19

- Advertisement -

WASHINGTON – Jumlah pesakit positif Covid-19 di seluruh dunia melangkaui sejuta orang pada Khamis dengan lebih 52,000 kematian dicatatkan dan angka korban di Sepanyol serta Itali terus meningkat, menurut data rasmi Reuters.

Itali mencatatkan jumlah kematian tertinggi dengan lebih 13,900 kes, disusuli Sepanyol. AS pula mempunyai paling banyak kes positif berbanding negara lain, iaitu lebih 240,000 kes.

Sejak virus itu mula dikesan di China pada akhir tahun lalu, pandemik berkenaan merebak ke seluruh dunia menyebabkan kerajaan mengarahkan perniagaan ditutup, penerbangan komersial digantung dan ratusan juta orang diminta duduk di rumah dalam usaha membendung penularan itu.

Ketika semua negara cuba meningkatkan ekonomi yang terjejas akibat penularan virus itu, kadar mingguan kehilangan kerja di AS melonjak kepada 6.6 juta, sekali ganda daripada rekod minggu lalu.

Hospital dan bilik mayat di bandar New York, pusat penularan virus itu di AS bergelut untuk merawat serta menerima mangsa korban, manakala Gabenor New York, Andrew Cuomo meramalkan bahagian lain di negara itu akan berdepan nasib sama.

Di Sepanyol, angka korban melebihi 10,000 orang pada Khamis selepas mencatatkan rekod 950 pesakit meninggal dunia semalaman, tetapi jumlah kes positif harian berkurangan.

Kira-kira 900,000 pekerja di negara itu kehilangan kerja sejak pertengahan bulan lalu susulan sekatan keluar masuk yang dilaksanakan kerajaan dalam usaha memerangi Covid-19.

Menteri Kesihatan Britain, Matt Hancock yang pertama kali muncul selepas pulih daripada jangkitan virus itu, berjanji meningkatkan ujian saringan yang dijalankan setiap hari sebanyak 10 kali ganda menjelang akhir bulan ini selepas kerajaan dikritik gagal melakukan pemeriksaan ke atas petugas kesihatan dan orang ramai.

Britain pada awalnya mengambil pendekatan mengawal penularan itu, tetapi Perdana Menteri, Boris Johnson yang disahkan positif Covid-19, mengubah taktik dengan melaksanakan penjarakan sosial ketat selepas unjuran menunjukkan 250,000 rakyat di negara itu mungkin maut akibat virus berkenaan.

Di Itali, yang mencatatkan 6,557 kes baru dalam tempoh sehari pada 21 Mac lalu dan kira-kira 28% jumlah kematian global datang daripada negara itu, angka korban melonjak kepada 13,915 orang pada Khamis.

Tetapi, ia adalah hari ke-4 berturut-turut di mana jumlah kes baru kekal dalam lingkungan 4,050 hingga 4,782 orang, seolah-olah mengesahkan jangkaan kerajaan pandemik itu kini mencapai tahap mendatar.

Itali ialah negara Barat pertama memperkenalkan sekatan pergerakan dan aktiviti ekonomi secara menyeluruh, dengan kes positif pertamanya disahkan hampir 6 minggu lalu.

Di Rusia, Presiden Vladimir Putin melanjutkan cuti berbayar sehingga 30 April ini di seluruh negara, hanya seminggu selepas Kremlin berkata tiada wabak itu.

Di Iraq, 3 doktor yang terbabit dalam ujian, seorang pegawai Kementerian Kesihatan dan seorang pegawai kanan politik berkata, terdapat ribuan kes Covid-19, berkali-kali ganda lebih banyak daripada statistik yang dilaporkan, tetapi kerajaan menafikannya.

Di negara Amerika Latin, Ecuador menubuhkan sebuah “kem khas” untuk menempatkan pesakit Covid-19 di bandar terbesar negara itu, Guayaquil, di mana lebih 80 pesakit meninggal dunia.

Presiden Brazil, Jair Bolsonaro menafikan mana-mana hospital di negara itu sudah mencapai kapasiti penuh, tetapi sekutu paling rapat dengannya enggan menyokong rancangannya untuk melonggarkan peraturan koronavirus supaya ekonomi terus berkembang.

Sebanyak 100,000 kes pertama Covid-19 di seluruh dunia dilaporkan sekitar 55 hari dan 500,000 kes pertama dalam tempoh 76 hari, menurut statistik Reuters berdasarkan rekod rasmi.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat