Persiapan Deepavali agak suram di N. Sembilan

- Advertisement -

SEREMBAN: Walaupun perayaan Deepavali bakal disambut tidak lama lagi, namun persiapan sambutan Pesta Cahaya itu suram berikutan kebimbangan orang ramai dengan penularan pandemik COVID-19 ketika ini.

Tinjauan Bernama di Little India sepanjang Jalan Yam Tuan, di sini mendapati ia tidak semeriah seperti tahun sebelumnya yang merupakan waktu paling sibuk bagi masyarakat India di negara ini untuk membuat segala persiapan menjelang sambutannya pada 14 Nov.

Walaupun ada yang sudah mula membeli pelbagai barang kelengkapan seperti pakaian, perhiasan diri dan alat upacara sembahyang serta kuih tradisional namun, para peniaga yang ditemui percaya, lebih ramai memilih untuk duduk di rumah demi keselamatan diri dan keluarga daripada penularan COVID-19.

Peniaga perhiasan Deepavali, R Vijahragavan, 58, berkata penjualan pada tahun ini agak kurang memberangsangkan dan perlahan selain bilangan pelanggan sedikit berkurang berbanding tahun lepas.

“Kalau sebelum ini kita menerima keuntungan antara RM5,000 hingga RM6,000 sebulan tetapi tahun ini untuk capai RM3,000 sebulan pun susah kerana jualan merosot. Saya rasa orang ramai mula berjimat disebabkan kewangan mereka terjejas akibat COVID-19,” katanya.

Peniaga kuih tradisional muruku, G Kuppan, 63, turut mengakui jualan kedainya pada tahun ini agak perlahan selain berpendapat mungkin masih terlalu awal untuk masyarakat India keluar membuat persiapan bagi menyambut perayaan itu.

“Setakat ini, saya hanya dapat hasil jualan sekitar RM100 sehari. Kebiasaan pada waktu perayaan akan dapat lebih daripada itu dan boleh mencecah RM300 ke RM500 sehari, berkemungkinan baki seminggu lagi, orang ramai akan mula keluar membeli saat-saat terakhir,” katanya.

Bagi pemilik kedai tekstil dan pakaian, S Anvarasan, 55, pula berkata kehadiran pelanggan yang datang ke kedainya agak memberangsangkan dan menjangkakan lebih ramai pelanggan yang datang seminggu sebelum perayaan Deepavali.

“Saya berterima kasih kepada kerajaan kerana masih membenarkan operasi perniagaan dibuka seperti biasa dengan mematuhi prosedur operasi standard. Dengan adanya kebenaran ini dapat membantu peniaga memulihkan semula ekonomi dan menjana pendapatan,” katanya.

Dalam pada itu, pelanggan, J Sarojini, 40, berkata perayaan Deepavali pada kali ini hanya disambut secara sederhana selain sambutan dalam kebiasaan baharu itu membolehkannya berjimat ketika menyambut perayaan.

“Saya mungkin hanya beraya di Seremban dan tidak ke mana-mana. Saya keluar pada hari ini hanya untuk beli barang persiapan Deepavali dan mengehadkan perbelanjaan selain pembelian barang hanya untuk kegunaan hari pertama Deepavali sahaja,” tambahnya.

– BERNAMA

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat