Kelemahan PN juga punca ekonomi lembap – Faiz Fadzil

- Advertisement -

CYBERJAYA: Kemelesetan ekonomi yang dihadapi negara hari ini bukan semata-mata disebabkan pandemik Covid-19 tetapi ia ada kaitan dengan kegagalan kerajaan Perikatan Nasional (PN), kata Ahli Jawatankuasa Nasional Amanah, Faiz Fadzil.

Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang Pasir itu berkata kerajaan PN gagal mencari polisi yang tuntas merangsang ekonomi rakyat dan menyelesaikan masalah rantaian nilai serta ketidakstabilan politik yang menghakis keyakinan pelabur asing.

Faiz Fadzil berkata, jika pencapaian mereka benar-benar positif, mengapa pelabur asing lari daripada pasaran saham Malaysia dengan begitu drastik.

Katanya, sehingga akhir Oktober lalu sahaja, aliran keluar bersih dana asing tahun ini menurut MIDF melonjak ke RM23 bilion berbanding RM11.41 bilion bagi tahun 2019.

“Rakyat, khususnya golongan B40 dan perusahaan kecil sederhana (PKS) masih berada dalam kesulitan kewangan, tetapi ini gagal ditangani dengan berkesan oleh kerajaan PN.

“Program Subsidi Upah (PSU) seharusnya diteruskan bagi membantu golongan PKS untuk terus bertahan, di samping moratorium pinjaman bank yang tidak dilanjutkan secara automatik juga menambah derita rakyat hari ini,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Faiz berkata, dianggarkan 20 hingga 30 peratus PKS bakal gulung tikar jika tiada pakej rangsangan ekonomi baharu yang lebih berkesan diperkenalkan kerajaan.

Katanya, desakan pihak tertentu agar kerajaan membenarkan pengeluaran Akaun 1 caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sehingga RM10,000 secara one-off adalah bukti kehidupan rakyat semakin tersepit.

“Walaupun tujuan asas caruman KWSP adalah sebagai simpanan untuk perbelanjaan selepas persaraan namun desakan hidup rakyat perlu diutamakan.

“Oleh itu, titah Yang di-Pertuan Agong yang menekankan pemulihan ekonomi dan kesejahteraan hidup rakyat diutamakan dalam Belanjawan 2021 adalah tepat dan wajar,” katanya.

Bukan itu sahaja, ujarnya, akta untuk menangani kesan Covid-19 juga mengambil masa lama untuk dibentangkan di Parlimen dan hanya diluluskan di Dewan Rakyat pada 25 Ogos lalu.

Kata beliau, akta yang serupa telah diluluskan di negara lain jauh lebih awal.

“Di Singapura misalnya, akta berkenaan diluluskan seawal 7 April 2020 lagi. Kelewatan ini menunjukkan lemahnya tatakelola kerajaan PN yang banyak masa ditumpukan pada urusan politik.

“Sektor pekerjaan masih terus lembab dan saban hari kita disajikan dengan berita pemberhentian kerja termasuk di syarikat besar, yang mana mencecah hampir 90,000 orang.

“Sektor penerbangan juga terjejas teruk. Syarikat seperti AirAsia, Malaysia Airlines dan Malindo memberhentikan ramai pekerja mereka. Apakah tindakan konstruktif atau jalan keluar kerajaan PN untuk mengurangkan impak ini sebanyak mungkin?” soal beliau.

Faiz juga mengingatkan kerajaan PN supaya bangkit daripada tidur.

Katanya, kelemahan PN semakin menonjol saban hari dan ini akan memberikan kesan negatif yang besar terhadap ekonomi negara dan kehidupan rakyat.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat