Menteri cadang pekerja tempatan isi kekosongan sektor perladangan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR- Susulan pandemik Covid -19 kini memasuki gelombang ketiga pekerja tempatan disarankan bekerja dalam sektor perladangan dan komoditi memandangkan industri tersebut menghadapi kekurangan tenaga kerja.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata pihaknya menyedari bahawa kekurangan tenaga kerja dalam sektor perladangan dan komoditi agak kritikal, dikhuatiri boleh menjejaskan prestasi dan kemajuan industri agrikomoditi negara.

“Pada masa sama, keselamatan rakyat Malaysia tidak boleh dikompromi. Oleh itu, kementerian berpandangan bahawa kemasukan pekerja asing yang masih tidak dibenarkan ke negara ini adalah pendekatan terbaik dengan mengambil kira situasi semasa.

“Tambahan pula, dalam keadaan ramai rakyat Malaysia yang kehilangan pekerjaan, adalah wajar penglibatan pekerja asing dihadkan,” katanya memetik laporan Bernama.

Justeru katanya, kementerian akan melipatgandakan usaha untuk mengisi kekurangan tenaga kerja dalam sektor perladangan dan komoditi dengan mengadakan kempen untuk mengajak lebih ramai rakyat tempatan termasuk golongan orang asli bekerja dalam sektor ini.

“Kementerian akan terus bergerak ke arah memberi keutamaan kepada rakyat tempatan bekerja dalam sektor perladangan dan komoditi selain memperkasakan modal insan melalui latihan dan kursus di bawah Institut Perladangan dan Komoditi Malaysia,” ujar beliau.

Tambahnya, kerajaan juga sedang mempertimbangkan untuk memberikan permit sementara kepada pekerja asing tanpa izin di negara ini bagi menangani situasi kritikal dalam sektor sawit dan getah bagi bidang pekerjaan yang masih sukar menarik minat rakyat tempatan.

“Kementerian dengan kerjasama pelbagai kementerian dan agensi berkaitan akan terus berusaha keras membantu sektor agrikomoditi mendapatkan pekerja melalui kempen menggalakkan penyertaan rakyat tempatan.

“Kementerian turut berbesar hati dan mengalu-alukan penglibatan agensi pekerjaan tempatan untuk tampil dan membantu kementerian bagi menggalakkan rakyat tempatan bekerja dalam sektor tersebut.

“Ia penting agar usaha untuk mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing dapat direalisasikan,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat