Subsidi, Kawalan Harga Bantu Malaysia Kurangkan Impak Inflasi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kadar inflasi di Malaysia adalah lebih rendah berikutan langkah kerajaan menyediakan peruntukan subsidi yang lebih besar iaitu sebanyak RM77.7 bilion bagi tahun 2022 jika dibandingkan dengan bajet asal sebanyak RM31 bilion.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, kerajaan juga melaksanakan harga kawalan melalui Skim Kawalan Harga Keluarga Malaysia dan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan terhadap barang kawalan asas.

“Pada masa yang sama, kerajaan telah memperluaskan Program Jualan Murah Keluarga Malaysia (JMKM) melibatkan 600 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) seluruh negara dan 13 kawasan Parlimen di Wilayah Persekutuan.

“Program JMKM dilaksanakan mulai Ogos sehingga Disember 2022 untuk menawarkan pengurangan harga barangan keperluan harian sehingga 20 peratus berbanding harga pasaran semasa setempat,” katanya katanya dalam Laporan Kewangan Rakyat Ke-109 yang dikeluarkan pada Jumaat.

Menurut beliau, sebanyak RM80 juta telah diperuntukkan bagi menjayakan program JMKM.

“Mengikut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), kadar inflasi Malaysia mungkin melonjak melebihi 12 peratus sekiranya kerajaan tidak menyediakan pelbagai subsidi kepada rakyat.

“Segala usaha kerajaan sudah tentu bagi membantu Keluarga Malaysia daripada terus terkesan akibat kos sara hidup yang semakin meningkat,” ujarnya lagi.

Tengku Zafrul menambah, inflasi Malaysia meningkat 2.8 peratus bagi tempoh Januari – Julai 2022, selari dengan sasaran Bank Negara Malaysia, iaitu di antara 2.2 peratus – 3.2 peratus bagi tahun 2022.

Jelasnya, kadar inflasi pada bulan Julai 2022 berbanding dengan Julai 2021 meningkat sebanyak 4.4 peratus.

“Trend kadar inflasi yang tinggi adalah fenomena global yang turut dialami oleh banyak negara di dunia berikutan kenaikan input pengeluaran dan harga bahan api.

“Walau bagaimanapun, kadar inflasi Malaysia adalah antara yang paling rendah di dunia.

“Kadar pada bulan Julai 2022 adalah lebih rendah berbanding United Kingdom (10.1 peratus), Kesatuan Eropah (8.9 peratus), Amerika Syarikat (8.5 peratus), Thailand (7.6 peratus), Singapura (7.0 peratus), Filipina (6.4 peratus), Republik Korea (6.3 peratus) dan Indonesia (4.9 peratus),” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat