Kota bersejarah penuh romantis

- Advertisement -

‘KEMBARA membuatkan kita hilang kata-kata, namun kemudian menjadikan kita seorang pencerita’, demikian mutiara kata pengembara terkenal dalam sejarah, Ibnu Battuta.

Benarlah bagai dikata, pesona bumi Jerman membuatkan kami terkesima dan teruja melihat keindahan alam ciptaan Allah yang tiada taranya dalam kembara ke negara itu pada November tahun lalu.

Kehadiran kami di Lapangan Terbang Munich, Jerman disambut hujan gerimis dan tiupan angin musim luruh.

Uniknya, kembara kami bermula dengan melihat pemandangan bandar Munich yang lebih dikenali sebagai kota bersejarah, penuh seni dan romantis terzahir melalui slogan Munchen ‘mag dich’ yang bererti ‘Munich mencintaimu’.

Bas berhenti di belakang bangunan Nationalteater sebelum kami susuri jalan di Max-Joseph Platz. Di kiri dan kanan jalan ada banyak bangunan yang memiliki seni bina lama.

BANGUNAN dengan seni bina lama di Dataran Marientplatz.
BANGUNAN dengan seni bina lama di Dataran Marientplatz.

Selesai mengambil gambar kenangan di tugu King Maximilian, kami menuju ke Marientplatz (St Mary’s Square) yang dipenuhi butik berjenama, muzium dan balai seni.

Secara kebetulan terdapat demonstrasi aman yang memperjuangkan kebebasan. Mereka yang berpakaian serba merah dan menyolek wajah seperti badut membuat persembahan pentomin sambil diiringi gesekan biola.

Dataran yang wujud sejak 1158 ini pernah menjadi kawasan perdagangan atau pasar berdasarkan kewujudan Fish Fountain (Fischbrunnen).

Pada abad ke-15, kebiasaan golongan miskin mencuci dompet kosong di air pancut ini kerana percaya dompet mereka akan sentiasa penuh sehinggalah kebiasaan itu menjadi satu tradisi. Khabarnya tradisi itu masih diteruskan Datuk Bandar dan Bendahari Munich hingga kini.

Menelusuri sejarah New Town Hall yang menggantikan Old Town Hall di sebelahnya, tarikan istimewa di sini ialah menara jam Glockenspiel.

Pada setiap jam 11 pagi, 5 petang dan 12 tengah malam akan menceritakan sejarah suka duka yang pernah berlaku di Munich pada masa lalu melalui gerak aksi pelbagai ukiran patung serta loceng yang berputar silih berganti.

DARI jauh sudah kelihatan Istana Honenschwangau.
DARI jauh sudah kelihatan Istana Honenschwangau.
JALAN menuju ke Istana Neuschwanstein.
JALAN menuju ke Istana Neuschwanstein.

Naga sememangnya sinonim dengan cerita legenda Eropah, begitu juga Munich. Menurut legenda, pada 1517, Wurmeck Dragon dikatakan menjadi punca wabak black plague, penyakit itu hanya dapat ditangani selepas pengawal kota menembak mati naga dengan meriam.

Bagi mengingati peristiwa itu, arca seekor naga ‘ditempelkan’ di sudut bangunan New Town Hall.

Destinasi seterusnya Olympia Park. Pada 1972, Munich menjadi tuan rumah Sukan Olimpik dan pasukan bola sepak Malaysia pernah melakar sejarah paling manis kerana buat kali pertama melayakkan diri beraksi pada sukan itu di sini dan seterusnya mendapat tempat ke-10 daripada 16 pasukan bertanding.

Kini Olympia Park sudah menjadi taman rekreasi dan riadah yang dilengkapi berbagai kemudahan termasuk perkhidmatan tram untuk menjelajah kawasan sekitar.

Seterusnya, kami ke BMW Museum dan BMW Welt yang menempatkan pelbagai jenis kereta mewah BMW. Di sini kita boleh melihat perkembangan sejarah BMW yang bermula dengan penghasilan motosikal sehingga menjadi satu jenama kereta yang gah di dunia.

Kami singgah di stadium bola sepak Alliance Arena yang cukup sinonim dengan pasukan Bayern Munich. Pada sebelah siang, stadium itu berwarna putih manakala pada sebelah malam pula bangunan bertukar menjadi warna merah bercahaya. Tiket masuk berharga RM144 untuk lawatan selama satu jam.

MUZIUM BMW yang menempatkan pelbagai jenis kereta keluaran BMW.
MUZIUM BMW yang menempatkan pelbagai jenis kereta keluaran BMW.

Bagaimanapun, hanya kami mampu menjelajah kawasan di luar stadium sambil mengambil gambar kenangan di hadapan bangunannya yang sangat unik kerana kekangan masa.

Kami bermalam di Ibis Hotel Munich yang berada di kawasan perumahan. Pada sebelah pagi dan petang, kami manfaatkan masa terluang dengan berjalan di penempatan sekitar hotel untuk mengenali budaya dan cara hidup penduduk setempat.

Kami sempat juga singgah di pasar raya REWE yang dibuka seawal jam 7 pagi untuk memborong pelbagai coklat murah apatah lagi dilayan mesra oleh seorang pekerjanya yang beragama Islam, memudahkan kami mengenal pasti barangan halal.

Seterusnya, kami ke Fussen yang jaraknya hampir dua jam dari Munich. Sepanjang perjalanan, kami disajikan pemandangan alam semula jadi musim luruh yang berwarna-warni, kawasan pergunungan dan perkampungan. Keindahannya tidak terungkap dengan kata-kata.

Tepat pilihan kami dan segala perancangan berjalan lancar dengan izin-Nya. Di kiri kanan jalan ada banyak longgokan labu berwarna jingga untuk dijual. Tiada penjaja yang menjaga, semuanya atas kejujuran pelanggan meletakkan wang di dalam bekas yang disediakan.

STADIUM bola sepak Alliance Arena.
STADIUM bola sepak Alliance Arena.

Kami jejaki istana lama iaitu Neuschwanstein dan Honenschwangau. Bagi yang berminat masuk ke dalam istana, bolehlah membeli tiket di kaunter di kaki bukit.

Sebelum mendaki, kami singgah sebentar di Tasik Schwangau untuk melihat ketenangan dan kejernihan air yang boleh dilihat sehingga ke dasarnya.

Meredah kedinginan musim luruh sepanjang pendakian ke istana, menawarkan pemandangan yang sangat indah. Kelihatan Banjaran Alps di celah dedaun berwarna-warni, air terjun kecil dan tersedia juga bangku untuk melepaskan lelah.

Selain berjalan, pelancong boleh menaiki kereta kuda (7 euro seorang) atau shuttle bus di kaki bukit.

Sementara rakan memasuki istana dan sebahagiannya pula menjelajahi persekitarannya, saya bersama rakan lain memilih menerokai alam semula jadi di belakang Istana Neuschawnstein. Kegigihan kami mendaki selama kira-kira 10 minit terbayar, Subhanallah! indahnya.

Kami bagaikan berada di dalam cerita Cinderella, Snow White dan Sleeping Beauty yang terinspirasi daripada istana itu.

DI kaki bukit Istana Neuschwanstein.
DI kaki bukit Istana Neuschwanstein.

Dari Jambatan Marienbruke yang dibina khas King Ludwig I untuk Queen Marienbruke yang sangat gemar merentas desa, di kejauhan kelihatan tersergam indah Istana Neuschwnstein seumpama seekor swan (sejenis angsa putih) yang menjadi kegemaran King Ludwig II.

Kami menikmati makan tengah hari dengan nasi putih, lauk- pauk dan sambal yang dibawa dari Malaysia sambil menikmati sajian pemandangan indah di persekitaran kaki bukit Istana.

Selepas itu, kami dibawa ke satu daripada pusat beli-belah terkenal iaitu Ingolstadt Village Outlet yang menempatkan lebih 100 butik menawarkan pelbagai jenama terkenal seperti Zara, H&M, Prada, Michael Kors dan banyak lagi koleksi antarabangsa.

Banyak tawaran hebat yang sukar dilepaskan, sesuai dengan bajet kami yang sederhana.

Segala keindahan, keunikan serta ketenangan bumi Jerman tersemat di sanubari dan kami pulang penuh dengan pengalaman indah yang menambahkan warna dalam hidup!

Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat