Daging boleh cecah RM25 sekilogram

- Advertisement -

TATKALA tercari-cari usahawan ternakan ayam kampung, seorang rakan mencadangkan penulis supaya menemu bual lelaki berusia 29 tahun ini yang bukan saja bijak mencari peluang perniagaan malah mempunyai Ijazah Sarjana Muda Pertanian (Sains Haiwan) dari Universiti Putra Malaysia (UPM).

Melihat kepada bidang penternakan mampu menjadi kerjaya serasi buat dirinya, pemilik nama Nasrullah Mujaddidi Md Zaini sememangnya mempunyai cita-cita sejak kecil untuk berkecimpung di dalam bidang berkenaan kerana ayahnya juga terbabit dalam bidang sama.

Nasrullah Mujaddidi berkata, memulakan ternakan pada 2018 di Yan, Kedah bermodalkan RM250,000 hasil pulangan modal perniagaan ternakan kambing miliknya.

Jelasnya, ternakan ayam kampung diusahakan adalah baka ayam kampung asli dihasilkan UPM, Ayam Kampung Akar Putra yang sudah pun dipatenkan jenamanya hasil kajian Profesor Madya Dr Azhar Kasim yang juga pensyarahnya.

“Saya menemui Dr Azhar dan memaklumkan hasrat untuk menjadikan Ayam Kampung Akar Putra ini sebagai produk komersial dan beliau juga bersetuju untuk saya menjenamakan produk ayam kampung hasil kajian beliau sebagai Ayam Jerai sempena lokasi saya menjalankan operasi pembiak baka ayam berkenaan di kaki Gunung Jerai.

“Bagaimanapun, dari segi nama baka ayam perlu dikekalkan kerana ia sudah dipatenkan.

AYAM kampung ternakan yang mampu menghasilkan  maksimum 1,800 telur seminggu.
AYAM kampung ternakan yang mampu menghasilkan maksimum 1,800 telur seminggu.

“Kedengaran agak besar mengenai modal yang dikeluarkan untuk menternak ayam kampung ini kerana saya perlu memastikan kualiti hasil ternakan dalam keadaan baik daripada proses bertelur sehingga dijadikan ayam kampung siap proses,” katanya.

Katanya, modal itu digunakan untuk membangunkan dua unit reban ayam bersaiz 3,360 kaki persegi .

“Malah ia turut dilengkapi seunit bilik penetasan yang mampu menempatkan lima unit mesin inkubator berkapasiti 3,500 biji telur ayam, satu unit reban asuhan untuk anak ayam yang baru menetas (dipanggil brooder) dan seunit stor yang menempatkan ruang simpanan bahan makanan serta mesin bancuhan makanan ayam.

“Pada permulaan saya memiliki 200 ayam pembaka yang kini berkembang dan dikekalkan pada kapasiti 450 ekor ayam pembaka untuk dijual sama ada dijadikan daging diproses mahupun mendapatkan telur ayam kampung mempunyai permintaan tinggi di pasaran,” katanya.

Nasrullah Mujaddidi berkata, daripada mula menetas, ayam kampung diusahakan bertelur seawal usia 15 minggu, tetapi umur terbaik untuk ternakan itu menghasilkan telur yang berkualiti bagi penetasan antara usia 17 hingga 18 minggu.

MEMERIKSA anak ayam di reban asuhan.
MEMERIKSA anak ayam di reban asuhan.

“Tempoh ayam kampung ini bertelur pula adalah selama 22 bulan. Purata bilangan telur yang dihasilkan sepanjang tempoh ayam ini ‘berkhidmat’ adalah 280 biji.

“Secara purata seekor ayam kampung betina ini menghasilkan tiga biji telur seminggu. Uniknya, baka Ayam Kampung Akar Putra ini jenis tahan lasak iaitu mempunyai daya tahan dan rintang penyakit yang baik kerana jumlah kematian (mortality) anak ayam amat rendah memudahkan kami mendapatkan hasil ternakan untuk dipasarkan,” katanya.

Katanya, dengan adanya 450 ekor induk ayam kampung itu, haiwan ternakan berkenaan boleh hasilkan semaksimum 1,800 biji telur ayam seminggu.

“Prestasi penetasan pula pada kadar 85 hingga 90 peratus bergantung kepada tetapan dan olahan pada mesin inkubator,” katanya.

Ditanya mengenai cabaran mengusahakan ternakan itu, katanya, cabaran utama adalah pemakanan haiwan. Faktanya adalah dalam operasi produksi haiwan ternakan, 70 peratus daripada kos operasi adalah kos pemakanan haiwan.

“Cabaran seterusnya adalah untuk terus menjadi kreatif bagi mengolah makanan ternakan ayam kampung ini yang perlu dibela dalam tempoh masa lama tidak seperti ayam pedaging atau ayam pedaging berwarna yang boleh dituai dalam tempoh masa singkat.

“Dalam tempoh menternak yang lama itu juga perlu dipastikan ayam memperoleh makanan yang mengandungi nutrien cukup, supaya tumbesaran dan prestasi tidak terjejas,” katanya.

KAKITANGAN Nasrullah memeriksa keadaan anak ayam bagi memastikan dalam keadaan sihat.
KAKITANGAN Nasrullah memeriksa keadaan anak ayam bagi memastikan dalam keadaan sihat.

Katanya, antara lain cabaran dalam menternak ayam kampung asli ini adalah memberi kefahaman dan berkongsi ilmu dengan pengguna.

“Ini kerana terdapat kekeliruan dalam kalangan pengguna di pasaran mengenai ayam pedaging, ayam pedaging berwarna dan ayam kampung asli yang sebenarnya setiap jenis ayam itu mempunyai kualiti berbeza.

“Tiga jenis ayam di pasaran ini juga sudah tentu berbeza harganya sesuai perbezaan kualitinya dan umum mengetahui ayam kampung mempunyai kualiti dari segi tekstur dan rasa daging yang lebih baik untuk kesihatan. Disebabkan itu harga jualan dagingnya di pasaran boleh mencecah sehingga RM25 sekilo dan bagi sebiji telur dijual maksimum RM1.20,” katanya.

Ditanya adakah ayam kampung diproses miliknya dalam kategori organik, Nasrullah Mujaddidi berkata, dia tidak mahu mentakrif ayam ternakannya sebagai produk organik kerana ia memerlukan pensijilan dan pengiktirafan daripada badan yang terbabit seperti Sijil Organik Malaysia (SOM).

“Kami tidak akan mentakrif produk kami organik selagi ia belum diiktiraf. Permohonan akreditasi SOM adalah pelan kami pada masa hadapan.

“Bagaimanapun, dari segi pemakanan, ternakan Ayam Jerai menggunakan campuran 50 peratus hidangan dedak dihasilkan sendiri yang dikenali sebagai Bokashi (terdiri daripada hasil peramanan produk sampingan pertanian, hampas soya dan padi beras hancur), 40 peratus dedak komersial, dan 10 peratus tumbuhan hijau,” katanya mengakhiri perbualan.

NASRULLAH mempunyai perniagaan dalam penternakan pada usia belum 30 tahun.
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat