Jawi Sebahagian Bahasa Kebangsaan, Kenapa Adun DAP Nak Pertikai? – Sharkar

- Advertisement -

PETALING JAYA – Seorang exco Pahang mempersoalkan tindakan wakil rakyat DAP mempolitikkan dasar kerajaan negeri mewajibkan papan tanda tulisan Jawi yang tiada kaitan isu agama, sebaliknya ia sebahagian daripada bahasa kebangsaan.

Ia susulan permohonan mahkamah yang difailkan Adun Tras, Chow Yu Hui bagi mencabar keputusan kerajaan Pahang mewajibkan tulisan Jawi di papan tanda dan iklan, manakala Adun Ketari, Young Syefura Othman berharap pelaksanaan dasar itu tidak membebankan rakyat, khasnya peniaga kecil, walaupun DAP negeri menyokong usaha menggalakkan penggunaan tulisan itu.

Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi negeri, Mohd Sharkar Shamsudin berkata, arahan itu tidak sukar dilaksanakan.

“Bimbang didenda RM250? Jika bimbang sertakan sahajalah tulisan Jawi di papan tanda premis perniagaan, jika tidak mahu membuat papan tanda baru, tampal sahaja tulisan Jawi mengikut saiz dan ukuran yang ditetapkan.

“Adakah Adun Tras, Adun Ketari dan DAP Pahang tidak menghormati titah Yang di-Pertuan Agong supaya kerajaan negeri Pahang mewajibkan penggunaan tulisan Jawi di papan tanda premis perniagaan di negeri ini?” tulisnya di Facebook hari ini.

Pahang sepatutnya menguatkuasakan dasar papan tanda bertulisan Jawi mulai 1 Jan 2019, tetapi ia dilanjutkan kepada 30 Jun tahun lalu dan akhirnya 1 Jan tahun ini.

Peniaga yang enggan meletakkan nama premis dengan tulisan Jawi bersaiz sama dengan tulisan rumi di papan tanda boleh dikompaun maksimum RM250 dan lesen perniagaan mungkin dibatalkan jika masih berdegil.

Sharkar menyarankan orang ramai mendapatkan nasihat daripada pihak mempunyai kepakaran berhubung tulisan Jawi dan tidak dipengaruhi golongan berkepentingan politik yang hanya akan memburukkan keadaan serta menjejaskan perpaduan rakyat berbilang kaum.

Katanya, penggunaan tulisan Jawi, termasuk pelaksanaan mandatori di papan tanda tidak menyekat kebebasan mana-mana kaum atau agama.

“Tulisan Jawi bukan isu agama, tetapi isu ini berkaitan bahasa kebangsaan. Kita pula tidak pernah mempertikaikan tulisan Cina kerana Itu sebahagian daripada budaya kaum Cina, sebagai contoh.

“Tidak perlulah kaum lain menganggap tulisan Jawi sebagai proses Islamisasi seperti mana yang didakwa sebahagian pihak.”

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat