Tergesa-Gesa, Zalim? Ini Jawapan Menteri Kanan Pertahanan

- Advertisement -

Salam sejahtera kepada seluruh rakyat Malaysia.

Semalam YAB Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang berkuatkuasa 4 Mei 2020.

PKPB yang diumumkan oleh Perdana Menteri semalam adalah berdasarkan dua kriteria utama iaitu daripada kepentingan kesihatan dan keperluan merangsang ekonomi negara. Oleh sebab itu, kerajaan telah pun mengarahkan penyediaan syarat SOP yang ketat. Walaupun kepentingan ekonomi juga diperlukan tetapi tidaklah terbuka secara bebas dan tetap tertakluk kepada SOP yang ketat.

Perlu saya ingatkan bahawa PKP masih terus dilaksanakan. Bukan bermakna PKPB ini dilaksanakan maka tidak ada akta lagi yang mengikat rakyat kita untuk patuh pada setiap arahan, kerana Akta 342 masih lagi berkuatkuasa. Tindakan masih lagi diambil kepada mereka yang ingkar kepada pematuhan akta ini.

Ianya selari dengan pengumuman awal iaitu kita akan adakan kelonggaran demi kelonggaran. Misalnya waktu operasi beberapa jenis perniagaan ketika PKP sebelum ini kita hadkan kepada pukul 8 malam. Seperti saya katakan bahawa ianya akan dilonggarkan sedikit demi sedikit dan kali ini dengan PKPB, premis perniagaan dibenarkan hingga pukul 10 malam.

Pada peringkat awal PKP juga, kilang-kilang yang dibenarkan beroperasi adalah kilang-kilang yang melibatkan keperluan asasi seperti makanan dan perubatan. Jumlah pekerja pula hanya 50% daripada pekerja yang sebenar. Selepas itu dilonggarkan sedikit menjadi 100% dan mungkin subsektor yang berkaitan dengan perkilangan tersebut juga boleh dibuka.

Jadi bermakna ianya secara berperingkat lebih-lebih lagi kita telah mengenalpasti zon-zon iaitu zon hijau, merah dan kuning. Kalau dulu, peringkat awal tidak ada zon. Ianya berdasarkan negara. Kita ‘lockdown’ dengan pelaksanaan PKP di seluruh negara. Lepas itu kita turunkan pula kepada negeri, kemudian kepada daerah. Selepas itu berdasarkan mukim dan kini berdasarkan lokaliti.

Dulu, beberapa kawasan zon hijau sejak PKP dilaksanakan, orang ramai masih lagi tidak boleh bergerak (dihadkan pergerakan) . Sebagai contoh, negeri Perlis lebih daripada dua minggu, mencatatkan kosong positif COVID-19 tetapi mereka masih lagi tidak dibenarkan untuk melakukan pergerakan sama seperti kawasan merah.

Sekarang, daripada laporan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hanya lima zon merah, sedangkan kawasan lain keseluruhannya sudah hijau dan sedikit kuning. Kawasan merah sebagai contoh adalah Putrajaya. Putrajaya zon merah tetapi sebenarnya lokalitinya hanya 1 presint sahaja yang merah. Oleh itu, presint itu sahaja yang merah, dan kita kawal kawasan presint tersebut. Jadi kawasan lain tidak boleh dianggap merah.

Ini pendekatan-pendekatan terkini kita iaitu ‘targetted area’, manakala luar daripada kawasan bersasar tersebut, kita mula untuk memberikan kelonggaran.

Kita tidak membuka secara keseluruhan. Bukan semua boleh beroperasi. Sebagai contoh sekolah, universiti dan sebagainya bersama Kementerian Pendidikan Malaysia masih lagi tidak beroperasi. Perhimpunan ramai masih lagi tidak dibenarkan, ‘social distancing’ masih lagi diperlukan berdasarkan SOP. Walaupun ada sesetengah pihak mendakwa kita membuka dengan tergesa-gesa, tetapi sebenarnya kita telah melalui peringkat-peringkat tertentu dan sekarang ini kita buka di kawasan hijau.

Saya mengambil contoh di rumah panjang di Kapit, Sarawak tidak ada orang luar pun masuk ke kawasan itu tetapi kawasan itu juga dikawal dan pergerakan mereka dikawal. Kalau mereka melanggar peraturan, mereka juga akan dikenakan tindakan kerana ia juga tertakluk kepada PKP iaitu sama juga dengan kawasan merah yang lain. Sebab itulah kita beri sedikit kelonggaran supaya peniaga-peniaga seperti warung goreng pisang dan sebagainya, kita benarkan oleh kerana kehidupan rakyat di akar umbi adalah ditahap agak sukar sekarang ini terutamanya kerana tidak dibenarkan beroperasi selama ini.

Kita memberi peluang untuk mereka mencari pendapatan walaupun sedikit. Sekurang-kurangnya mereka boleh berniaga di depan rumah dan sebagainya. Sebab itulah kita mula memberikan sedikit kelonggaran. Bagaimanapun, ini tidak bermakna PKP ditarik balik, yang ada hanyalah dilonggarkan beberapa sektor tertentu.

Pergerakan dan SOP pada PKP kali ini tetap seperti PKP 1, PKP 2 dan PKP 3. Saya harap Tuan-Tuan dan Puan-Puan perlu mempunyai disiplin untuk menjaga kesihatan diri sendiri. Walaupun supermarket dibuka, mall dibuka tetapi untuk menjaga keselamatan diri sendiri, kita lah yang perlu memastikan diri kita terjaga dengan melakukan ‘social distancing’ apabila berada di tempat umum juga mencuci tangan dengan kerap untuk pastikan kebersihan diri. Adalah menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan keselamatan diri kita.

Dari segi laporan kepatuhan awam, PDRM dan ATM telah melakukan sebanyak 820 sekatan jalan raya di seluruh negara dan melakukan pemeriksaan ke atas 486,307 kenderaan. Sebanyak 35,834 pemeriksaan mengejut telah diadakan di seluruh negara dengan sebanyak 7,065 premis telah diperiksa oleh pihak berkuasa.

PDRM telah menangkap 410 individu berbanding dengan 683 individu sebelum itu kerana ingkar PKP yang merangkumi 372 individu direman, 38 individu diberi jaminan polis. Jumlah tangkapan kumulatif ingkar PKP sehingga 1 Mei 2020 adalah 23,266 individu.

Operasi Sanitasi Awam dibawah kawal selia Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sejak 30 Mac 2020 telah melakukan 5,069 operasi sanitasi termasuk di 61 zon kuning dan merah dan sebanyak 8,769 premis kerajaan, premis perniagaan dan kawasan-kawasan awam telah pun disanitasi.

Semalam, sebanyak 67 operasi sanitasi yang meliputi 22 zon merah dan zon kuning di enam negeri termasuk 33 operasi di Johor dan 12 operasi di Sabah. Sehingga kini operasi sanitasi telah merangkumi 2,828 bangunan kerajaan, 1,983 tempat awam, 2,134 pusat perniagaan, 1,519 pusat perumahan termasuk PPR dan 305 pasaraya.

Setakat hari ini, sebanyak 237 pusat kuarantin telah beroperasi berbanding 232 sebelumnya yang mana 17,375 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib. Semalam seramai 548 rakyat Malaysia telah pulang ke tanah air dan telah dikuarantin wajib.

Seramai 26,828 rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara telah dikuarantin wajib sejak 3 April 2020 dan sejak 17 April 2020 seramai 13,672 individu telah selesai menjalani tempoh kuarantin wajib dan dibenarkan pulang.

Semalam berakhirnya pendaftaran daripada kampung ke bandar dan bandar ke kampung untuk mengambil anak mereka dan sebagainya. Pihak PDRM telah merima lebih daripada 500,000 permohonan daripada rakyat. Seperti yang saya jelaskan bahawa kita memang akan membenarkan rakyat yang terperangkap di kampung untuk pulang ke bandar dan sebagainya. Oleh itu, PDRM akan menyediakan jadual perjalanan bagi mereka yang akan pulang daripada kampung ke bandar ini. Pihak PDRM akan membuat kenyataan media untuk memberikan penjelasan yang lebih terperinci.

Pergerakan akan bermula pada Khamis depan 7 Mei 2020 dan dijangka berakhir pada 10 Mei 2020. Cuma saya ingatkan kepada kakitangan kerajaan bahawa tidak perlu tergesa-gesa untuk pulang hari ini atau esok walaupun pejabat akan dibuka pada hari Isnin, tidak perlu tergesa-gesa untuk pulang ke tempat kerja kerana YBhg Ketua Setiausaha Negara telah pun bersetuju bahawa mereka tidak perlu memulakan kerja pada hari Isnin.

Mereka boleh pulang ke tempat kerja berdasarkan hari yang akan ditetapkan oleh PDRM. Sebagai contoh kalau jadual perjalanan mereka jatuh pada hari Jumaat, boleh berkerja pada hari Isnin.

Sebab itulah jadual kepulangan daripada Khamis hingga Ahad. Maknanya minggu berikutnya hari Isnin akan datang mereka boleh memulakan kerja.

Bagi pihak swasta, saya ingin menyeru untuk dapatkan kerjasama daripada majikan-majikan supaya memberikan ruang kepada pekerja mereka untuk memulakan kerja berdasarkan jadual yang disediakan oleh pihak polis. Janganlah mengambil tindakan jika pekerja mereka mula bekerja pada Isnin kerana permulaan perjalanan akan bermula pada Khamis ini. Saya harap tidak ada pekerja-pekerja yang diambil tindakan oleh majikan-majikan swasta kerana ini bukan pilihan pekerja mereka tetapi ini adalah berdasarkan jadual yang disediakan oleh PDRM.

Semalam isu yang berlegar dalam media adalah mengenai tangkapan terhadap 586 pendatang tanpa izin PATI di PKPD Plaza City One, Malayan Mansion dan sekitar Masjid India. Semalam heboh di surat khabar bahawa kerajaan bertindak zalim, menangkap PATI dan sebagainya. Saya ingin maklumkan bahawa PATI dikuarantin secara wajib di dalam kawasan PKPD. Kita tak benarkan mereka keluar. Kita telah pun membuat saringan swab test kepada mereka dan mereka didapati negatif. Walaupun mereka masih berada dalam PKPD, status mereka masih lagi PATI.

Undang-undang terhadap PATI ini tetap sama, sama ada ada PKPD atau tiada PKPD. Mereka tetap melakukan kesalahan kerana menceroboh masuk ke dalam negara kita. Untuk itu, pihak imigresen telah membawa mereka ke depoh-depoh imigresen dan tindakan selanjutnya kita serahkan kepada imigresen berdasarkan undang-undang.

Sepatutnya mereka yang tidak berpuas hati kepada kerajaan ini berterima kasih kepada kerajaan kerana mereka dijalankan saringan dan diisytiharkan bersih. Bayangkan jika mereka pulang ke negara mereka, tentu mereka akan membawa COVID-19 ini untuk disebarkan kepada keluarga mereka. Bertindak zalim? Tidak betul.

Ketika PATI berada di PKPD juga mereka mendapat makanan yang sama seperti rakyat kita walaupun NGO yang beri makanan kepada mereka tetapi kebajikan mereka tetap dijaga. Apabila keluar dihantar ke depoh imigresen, mereka juga akan mendapat layanan diberi makanan dan sebagainya.

Jadi tidak timbul isu yang menyatakan kita bertindak zalim kepada PATI kerana kita telah menjaga mereka dengan baik sewaktu berada di PKPD dan InsyaAllah waktu berada di depoh pun mereka akan dijaga dengan baik. Tetapi, status mereka tetap sama iaitu mereka ialah PATI dan tindakan undang-undang terhadap PATI adalah sama sahaja.

Terus kekal dirumah, untuk terus kekal selamat.

#StayHomeStaySafe

Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob
Menteri Kanan (Keselamatan)
Menteri Pertahanan Malaysia

2 Mei 2020

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat