AS sokong hak rakyat Malaysia protes dan boikot, inilah demokrasi – duta

- Advertisement -

KUALA LUMPUR- Amerika Syarikat (AS) menyokong hak rakyat Malaysia untuk mengadakan protes secara aman di kedutaannya sebagai cara menyatakan rasa tidak puas hati terhadap Israel berhubung konflik di Gaza.

Duta Besar Amerika Syarikat (AS) di Malaysia, Edgard D Kagan, berkata kebebasan itu menunjukkan amalan demokrasi yang baik di negara ini terus diberi keutamaan.

Kagan, yang menyampaikan watikah pelantikannya kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada 20 Mac, berkata beliau memahami perasaan dan pendirian rakyat Malaysia berhubung perang Israel-Palestin.

“Kami amat menyokong hak untuk membuat bantahan secara aman, namun sudah tentu kami tidak ingin menjadi saluran untuk mereka luahkan perasaan terhadap Israel kerana kami bukan Israel.

“Bagaimanapun, kami juga faham bahawa itulah hakikat yang perlu kami terima dalam keadaan sekarang,” katanya pada sesi pertemuan dengan pemberita di kediaman rasminya lapor BH.

Beliau turut merakamkan penghargaan atas sokongan dan kerjasama kerajaan serta polis dalam memastikan keselamatan kemudahan dan kakitangan kedutaan semasa protes, walaupun dalam keadaan yang kurang sesuai.

Tahun lalu, rakyat Malaysia mengadakan tiga protes pro-Palestin berhampiran kedutaan AS sebagai menunjukkan solidariti dengan rakyat Palestin dan mengutuk Israel atas pencerobohannya terhadap Gaza.

Dua protes diadakan pada Oktober, dengan kira-kira 1,500 penunjuk perasaan berarak ke kedutaan manakala satu lagi kumpulan, Sekretariat Solidariti Palestin (SSP), cuba memulakan sekatan enam hari di luar kedutaan.

SSP juga bersedia untuk menganjurkan satu lagi perhimpunan pro-Palestin pada Jumaat sempena Hari Quds Antarabangsa, yang diadakan setiap tahun di serata dunia.

Ia diadakan pada Jumaat terakhir Ramadan untuk menyatakan sokongan kepada rakyat Palestin dan membantah tindakan Israel terhadap mereka.

Kumpulan itu berkata ia menjangkakan 10,000 orang akan berarak dari bangunan Tabung Haji di Jalan Tun Razak ke kedutaan AS.

Mengenai rakyat Malaysia yang memboikot produk berkaitan AS, Kagan berkata adalah juga hak mereka untuk menyatakan pandangan mereka secara aman dengan cara mereka tersendiri.

Bagaimanapun, katanya sasaran yang dimaksudkan tidak terjejas secara langsung, sebaliknya yang terjejas secara langsung ialah dua cawangan utama yang sedang diboikot. Satu milik rakyat Malaysia, satu milik Arab Saudi.

“Dalam kes ini, hanya pekerja Malaysia terjejas, mungkin terdapat kepuasan simbolik bila melakukannya, tetapi akhirnya, orang yang benar-benar menerima kesannya bukan Israel atau AS,” katanya sambil menyifatkan keadaan itu sebagai sesuatu yang ‘malang’.

Susulan oleh konflik Israel-Palestin, seruan kempen boikot besar-besaran terhadap produk berkaitan Israel dan Barat berleluasa, tidak terkecuali jenama Barat di Malaysia seperti Starbucks dan McDonald’s.

Pada 4 Mac, pengasas Berjaya Corp Bhd, Tan Sri Vincent Tan, menggesa orang ramai supaya berhenti memboikot Starbucks Malaysia kerana ia hanya merugikan rakyat Malaysia yang menjalankan syarikat itu.

Katanya, sehingga 85 peratus pekerja Starbucks Malaysia adalah beragama Islam dan tiada warga asing bekerja di ibu pejabat syarikat itu.

Kredit foto: Awani

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat