Had tempoh jawatan PM ikhtiar institusi tak terikat kepada mana-mana insan, berteras mandat rakyat – Anwar

KUALA LUMPUR – Pengehadan tempoh jawatan bukanlah penafian terhadap peluang kepimpinan, sebaliknya satu ikhtiar untuk memastikan negara ini terus dipandu oleh institusi yang kukuh, berfungsi dan tidak terikat kepada mana-mana insan semata-mata.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar menjelaskan, ia juga bukan perkara yang baru kerana ia berlaku di rantau kita had jawatan Presiden di negara-negara jiran. Di Afrika Selatan, dihadkan tempoh pasca-Aparteid, susulan penubuhan Kerajaan baru di bawah pimpinan Nelson Mandela.

Jadi katanya, pembentangan Rang Undang-Undang ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan Madani untuk memperkukuh institusi dan memartabatkan tatakelola negara.

Menurut beliau, pendekatan ini selari dengan kerangka Malaysia Madani yang menuntut kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat dan keyakinan, nilai-nilai yang hanya dapat
dipelihara apabila kuasa diurus dengan integriti, institusi diperkasa dan kepercayaan rakyat kepada sistem kenegaraan sentiasa dijunjung.

“Jadi mesej dan intipati nilai menekankan keterbatasan kuasa dan pertanggungjawaban atau akauntabiliti.

“Jadi, pindaan ini dengan menghadkan tempoh jawatan bukanlah tertumpu kepada individu, tetapi memastikan kuasa kekal di bawah disiplin perlembagaan dan kepimpinan negara sentiasa diperbaharui secara tertib demi kestabilan.

“Syariat Islam turut menekankan prinsip sadd al-zari’ah, iaitu menutup jalan yang boleh membawa kepada kemudaratan. Penetapan had tempoh jawatan boleh dilihat sebagai satu usaha mencegah penumpuan kuasa, penurusan dan mengurangkan risiko tersebut.

“Selari dengan tuntutan agama supaya kepimpinan sentiasa dipelihara dalam kerangka amanah, keadilan dan pertanggungjawaban,” katanya.

Menurut beliau lagi, menghadkan tempoh jawatan Perdana Menteri bukanlah perkara baharu. Ia telah lama menjadi sebahagian daripada wacana reformasi yang panjang.

“Kita telah mengambil langkah untuk menterjemahkan wacana tersebut melalui pindaan ini sebagai satu tekad politik untuk melaksanakan reformasi secara konsisten.

“Jadi rasionalnya adalah menetapkan kaedah atau mekanisme tadbir urus yang diiktiraf dalam demokrasi moden. Memastikan peralihan kuasa dan kepimpinan berlaku secara tertib, teratur dan berlandaskan undang-undang.

“Dalam kerangka Perlembagaan, pelantikan Perdana Menteri bergantung kepada kepercayaan majoriti Dewan Rakyat. Namun, Perlembagaan tidak menetapkan had tempoh jawatan tersebut, walaupun jawatan ini memegang peranan yang amat besar dalam pentadbiran negara.

“Maka, cadangan ini dirangka selaras dengan kerangka Perlembagaan Persekutuan sedia ada. Ia tidak mengubah asas demokrasi berparlimen, tidak menjejaskan kuasa prerogatif wewenang Yang di-Pertuan Agong dan tidak mengurangkan peranan Dewan Rakyat dalam menentukan kepercayaan kepada kerajaan.

“Malah, pindaan ini memperkukuh struktur perlembagaan melalui satu peruntukan yang jelas bagi mengukuhkan sistem semak dan imbang negara,” jelas beliau.

Mengulas lanjut Anwar berkata, dalam rangka cadangan ini, kerajaan telah melaksanakan sesi libat urus dengan pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, wakil masyarakat serta pakar dalam bidang tadbir urus dan perlembagaan.

“Pengehadan tempoh ini dikemukakan bukan bertujuan melemahkan institusi eksekutif, tetapi untuk memperkukuhkan legitimasi, kepercayaan awam dan kestabilan sistem demokrasi negara ini. Ia merupakan satu pelaburan untuk generasi akan datang, agar kepimpinan negara sentiasa berteraskan mandat rakyat dan prinsip akauntabiliti.

“Saya menyeru agar dewan yang mulia memberi perhatian dan memberi sokongan penuh, dari kedua-dua blok, bukan sahaja sekadar meluluskan satu pindaan undang-undang, tetapi meninggalkan satu legasi tatakelola bahawa Malaysia memilih untuk memperkukuh kuasa tertinggi eksekutif melalui had dan memperkukuh kepimpinan
melalui pertanggungjawaban atau akauntabiliti.

“Jadi, dengan yang demikian, saya menyeru Ahli-Ahli Yang Berhormat tanpa mengira haluan politik untuk memberikan sokongan penuh terhadap Rang Undang-Undang Perlembagaan Persekutuan (Pindaan) 2026 ini demi memperkukuh kerangka Perlembagaan, memantap tatakelola negara dan memastikan kepimpinan sentiasa berteraskan prinsip akauntabiliti.

“Semoga langkah ini menjadi sebahagian daripada legasi kenegaraan bahawa Malaysia memilih untuk memperkukuh demokrasi melalui kekuatan institusi dan keluhuran Perlembagaan,” ujarnya.

Tambah Anwar, dalam salasilah demokrasi, kematangan sesebuah negara tidak pernah diukur pada lamanya seseorang memegang tampuk kuasa. Ia diukur pada kekuatan institusi yang
menjamin kesinambungan dasar dan pentadbiran negara melangkaui individu.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat