Malaysia akan pulangkan semula e-waste haram ke negara asal – Arthur Kurup

KUALA LUMPUR – Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) komited untuk memulangkan semula e-waste yang dibawa masuk secara haram ke negara asal, selaras dengan undang-undang dan komitmen Malaysia di bawah Konvensyen Basel, kata Menterinya Datuk Seri Arthur Joseph Kurup.

Menurut beliau, sekiranya pemulangan tidak dapat dilaksanakan walaupun selepas segala usaha dilakukan, seperti apabila pemilik tidak dapat dikenal pasti, e-waste tersebut akan diurus dan dilupuskan secara selamat melalui kaedah Environmentally Sound Management (ESM) di fasiliti berlesen dalam negara bagi memastikan perlindungan kepada alam sekitar dan kesihatan
rakyat.

Tegas Arthur, usaha memerangi e-waste bukanlah tanggungjawab Jabatan Alam Sekitar (JAS) sahaja. Kerjasama dan pendekatan “Whole of Nation” amat penting bagi menangani rangkaian kemasukan e-waste secara haram ke negara ini, bermula dengan memutuskan rangkaian rantaian permintaan dan penawaran.

“Dari segi permintaan, langkah diambil dengan menutup kilangkilang haram dan membawa pengoperasinya ke mahkamah melalui kuasa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan polis.

“Bagi penawaran, operasi bersepadu dijalankan oleh pihak berkuasa yang mengawal pintu masuk negara seperti Lembaga Pelabuhan, Kastam, AKPS, PDRM dan JAS.

“NRES juga menggiatkan usaha membanteras kilang haram yang menjalankan aktiviti pemprosesan e-waste yang diseludup masuk secara haram melalui operasi bersepadu seperti Op Hazard yang melibatkan pelbagai agensi. Melalui Operasi Ops Hazard 1 dan 2, terdapat 85 kes yang diambil tindakan iaitu 20 premis dikenakan kompaun manakala selebihnya iaitu 65 diambil tindakan
untuk pendakwaan di mahkamah.

“Setakat ini 37 kes telah selesai di mahkamah,” katanya menjawab soalan daripada Senator Datuk Dr Mustafa Musa di Dewan Negara pada Isnin.

Tambah beliau lagi, kementerian telah mengenal pasti beberapa faktor yang mendorong kemasukan secara berterusan e-waste haram ke pelabuhan negara.

“Antaranya ialah – Asia Tenggara dan Malaysia telah menjadi antara destinasi eksport popular negara maju selepas China mengumumkan larangan import untuk pelbagai jenis sisa pepejal seperti plastik, kertas, tekstil, sisa logam dan e-waste pada tahun 2018. Dasar China ini memaksa negara maju untuk mencari destinasi baru untuk mengeksport sisa mereka.

“Terdapat individu atau sindiket tidak bertanggungjawab dengan sengaja membuat pengisytiharan palsu serta memanipulasi maklumat barangan yang dibawa masuk bagi memperdaya dan
mengelirukan pihak berkuasa.

“Permintaan yang tinggi oleh kilang haram dan tidak berlesen yang menjalankan aktiviti pemprosesan e-waste kerana bahan tersebut mengandungi logam bernilai tinggi seperti emas, perak, kuprum, dan palladium yang boleh diperolehi semula,” jelas beliau.

Menurut Arthur lagi, tindakan untuk menyelesaikan isu lambakan beliau telah mengarahkan JAS bersama-sama agensi berkaitan untuk melaksanakan Operasi Bersepadu Khas untuk e-waste bagi menyelesaikan lambakan kontena yang belum diperiksa.

Jelasnya, berdasarkan rekod Jabatan Alam Sekitar (JAS), jumlah penghasilan e-waste daripada sektor industri di seluruh negara bagi tempoh 5 tahun, iaitu dari 2020 hingga 2024, adalah sebanyak 586,605 tan metrik.

“Manakala, bagi tempoh yang sama, penghasilan e-waste daripada isi rumah direkodkan sebanyak 10,654 tan metrik. ini menjadikan keseluruhan penghasilan e-waste dalam negara dalam tempoh 5 tahun adalah sebanyak 597,260 tan metrik.

“Malaysia merupakan negara yang telah meratifikasikan Konvensyen Basel mengenai Kawalan Pergerakan Rentas Sempadan Buangan Berbahaya dan Pelupusannya.

“Sehubungan itu, pengimportan e-waste adalah tidak dibenarkan di negara ini. Justeru, ingin ditegaskan bahawa kementerian melalui JAS tidak pernah memberi kelulusan atau membenarkan sebarang pengimportan e-waste sepanjang tempoh ini.

“Kerajaan memandang serius terhadap sebarang aktiviti pengimportan haram buangan terjadual yang boleh menjejaskan keselamatan alam sekitar serta kesihatan awam dan tidak akan
berkompromi terhadap mana-mana pihak yang cuba menyeludup masuk sisa e-waste ke dalam negara,” tegasnya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat