PH jangan terburu-buru tolak BN – Hassan Karim

KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) perlu berfikir dua kali sebelum menerima cadangan Parti Amanah Negara (Amanah) untuk tidak bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16), terutama mengambil kira kepentingan rundingan pembahagian kerusi Parlimen.

Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim berkata, kerjasama antara PH dan BN ketika ini lebih profesional dan bertanggungjawab dalam mengendalikan pentadbiran Kerajaan Perpaduan, meskipun kedua-dua parti pernah berdepan ketegangan politik.

Menurutnya, Umno dan BN mungkin mempunyai ruang lebih besar untuk mempertahankan serta menambah kerusi Parlimen sekiranya meneruskan kerjasama dengan PH berbanding memilih untuk bergabung dengan parti-parti Melayu lain.

“Tidak mustahil nanti, BN dan Umno khususnya akan menyedari bahawa dalam kepentingan politik yang melibatkan jumlah kerusi Parlimen, mereka akan lebih selamat serta berpeluang menambah kerusinya jika terus bekerjasama dengan PH.

“Ini berbeza sekiranya BN dan Umno menjalinkan kerjasama dengan Pas atau Parti Wawasan Negara (Wawasan). Sebabnya, semua parti Melayu akan saling bersaing sesama sendiri di kerusi Parlimen majoriti Melayu yang terhad bilangannya,” katanya, memetik Utusan.

Beliau berkata, sekiranya BN memilih bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN), Umno juga perlu berdepan cabaran rundingan kerusi apabila kerusi Parlimen yang dimenangi Pas dan Wawasan pada PRU15 dijangka kekal di bawah prinsip status quo.

Katanya, keadaan itu boleh mengehadkan peluang Umno-BN untuk mendapatkan kerusi yang ingin ditandingi, berbeza sekiranya parti berkenaan meneruskan kerjasama dengan PH.

“Status quo incumbency kekal. Dalam keadaan sedemikian, Umno-BN akan menyedari keadaannya lebih baik dan banyak kerusi boleh ditandingi dalam PRU16, termasuk di negeri-negeri SG4, jika Umno-BN berganding dengan PH,” katanya.

Terdahulu, Presiden Amanah Datuk Seri Mohamad Sabu mencadangkan supaya PH tidak bekerjasama dengan BN bagi menghadapi PRU16.

Beliau berkata, perkara itu akan dibawa ke Majlis Presiden PH untuk mendapatkan keputusan bersama.

Dalam pada itu, Hassan mengingatkan PH supaya mengambil iktibar daripada perkembangan politik menjelang PRU15 apabila Umno pada awalnya bekerjasama dengan Pas sebelum akhirnya membentuk kerjasama dengan Bersatu menerusi PN.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat