SHAH ALAM — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri didakwa telah ‘mentalqinkan’ reformasi yang dilaungkan olehnya semasa menjadi pembangkang, tegas Muhammad Hilman Idham.
Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, ini dapat dilihat melalui kesengsaraan rakyat yang berpanjangan ekoran peningkatan kos sara hidup yang menghimpit menunjukkan kegagalan Kerajaan Perpaduan hari ini.
“Mereka (rakyat) bimbang dengan kerajaan hari ini yang mengurus ekonomi negara, mereka melihat tidak ada sebarang pembaharuan, tiada ada sebarang pelaksanaan reformasi yang berlaku.
“Saya ingin tegaskan semua masalah ini berlaku kerana seorang individu yang namanya Anwar Ibrahim, Perdana Menteri hari ini, Perdana Menteri telah mentalqinkan reformasi semata-mata mempertahankan kedudukan beliau sebagai perdana Menteri,” katanya semasa ucapan penggulungan sempena Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu 2024, hari ini.
Oleh itu jelasnya, Armada akan melaksanakan kerja dan amanah membawa suara rakyat menjalankan tugas semak dan imbang kerajaan selaku pembangkang.
“Sebab itu, Armada berikrar bahawa menjadi kewajipan Armada, Srikandi, Srikandi Muda, sayap bersekutu dan seluruh perwakilan wajib untuk tumbangkan rejim Madani.
“Kita akan bawa suara lebih konstruktif, kita tak perlu terikut gaya mereka, kita hanya perlu menjadi semak dan imbang yang baik, tidak perlu terbalikkan kereta polis, tetapi kita hanya perlu terbalikkan kerajaan putrajaya,”katanya.