KUALA LUMPUR – Umno Sabah tidak terdesak untuk bekerjasama dengan DAP, namun meletakkan kepentingan kestabilan politik sebagai keutamaan demi kesejahteraan rakyat Sabah.
Setiausaha Politik kepada Ketua Umno Sabah, Datuk Ir. Aziz Julkarnain menegaskan, Umno Sabah tidak terhegeh-hegeh, tetapi ini soal tanggungjawab dalam memastikan politik di negara ini kekal stabil untuk kesejahteraan rakyat.
“Umno Sabah menegaskan bahawa isu pertelingkahan antara Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Akmal Saleh, dan pemimpin DAP, Teresa Kok, tidak seharusnya dijadikan prasyarat untuk kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri Sabah (PRN17),” kata Aziz dalam kenyataan pada Selasa.
Kenyataan ini dikeluarkan sebagai respon kepada kenyataan Ahli Jawatankuasa DAP Sabah, Chan Foong Hin, yang dilihat cuba mencampuri urusan dalaman parti dalam konteks kerjasama politik di Sabah.
Terdahulu, Foong Hin, menegaskan pentingnya Umno mengawal pemimpin Pemudanya menjelang pilihan raya negeri yang akan datang.
“Jika Umno tidak dapat mengawal atau menangani pemimpin Pemuda yang berani memperjuangkan agenda mereka sendiri, kita akan bayar harganya dalam politik Sabah.
“Sebagai contoh, saya tidak fikir panggilan ‘nyonya tua’ akan diterima di sini (Sabah),” katanya.
Justeru Aziz menyatakan, kenyataan Foong Hin bersifat angkuh dan tidak mencerminkan pendirian Pakatan Harapan (PH) secara keseluruhan.
“Perdana Menteri Malaysia, yang juga Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sendiri telah menegur Teresa Kok agar tidak menyentuh perkara sensitif secara terbuka.
“Terdapat saluran yang betul untuk menyampaikan pendapat, dan menghebahkan isu sebegini hanya akan merosakkan hubungan antara kaum. ‘It takes two to tango’, dan perbalahan terbuka tidak akan membantu memperkukuhkan kerjasama,” katanya.
Mengulas isu pensijilan halal yang turut dibangkitkan, Aziz menjelaskan bahawa tujuan utama pensijilan halal adalah untuk memberikan keyakinan kepada pelanggan Islam dalam memilih premis makanan, tanpa mengira latar belakang pengusaha.
“Ia bukanlah soal diskriminasi, tetapi untuk mengelakkan kekeliruan dan perlu diingat, ia masih di peringkat kajian, belum dilaksanakan pun,” jelas beliau.
Susulan itu, Aziz turut menasihati Foong Hin agar memahami dinamika politik di Sabah yang berbeza daripada Semenanjung Malaysia.
“Sabah terkenal dengan toleransi yang tinggi antara kaum dan agama. Jangan sesekali membawa pendekatan politik Semenanjung ke sini.
“Jika benar ingin bekerjasama, lakukan dengan penuh keikhlasan, bukan sekadar menunjuk kuasa politik,” katanya.
Menurut Aziz lagi, Umno Sabah berharap semua pihak fokus kepada kerjasama yang konstruktif demi kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat Sabah.
“Segala perbezaan politik perlu diselesaikan dengan cara yang matang dan bertanggungjawab,” seru beliau.