MoU: Fahmi ‘Sekolahkan’ Nur Jazlan

KUALA LUMPUR – Pemimpin UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed ditempelak kerana didakwa gagal memahami perkara asas Memorandum Persefahaman (MoU) yang disepakati antara kerajaan dan pembangkang.

Nur Jazlan mengisytiharkan tarikh 31 Julai semalam sebagai tamatnya MoU kerajaan dan pembangkang.

Pun begitu, Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil bertanyakan kepada Nur Jazlan sama ada beliau membaca atau tidak dokumen MoU yag dimuat naik dalam laman sesawang Parlimen.

Kata Ahli Parlimen Lembah Pantai itu, kenyataan Nur Jazlan mengisytiharkan kononnya kerajaan bebas daripada daripada belenggu mainan politik Pakatan Harapan (PH) selepas 31 Julai sebagai memalukan.

“Dokumen MoU mana yang Nur Jazlan baca ni? Malunya,” bidas Fahmi.

Beliau turut memuat naik petikan dokumen MoU berkenaan yang secara jelasnya menyatakan: Memorandum Persefahaman (MoU) ini hendaklah berkuatkuasa daripada tarikh Perjanjian ini ditandatangani (13 September 2021) dan hendaklah terpakai sehingga pembubaran Malaysia yang ke-14.

Dalam pada itu tarikh 31 Julai yang dinyatakan dalam MoU itu merujuk persefahaman yakni kerajaan bersetuju tidak akan mengusulkan pembubaran Parlimen sebelum 31 Julai 2022.

“Macam mana nak jadi pemimpin bila benda basic (asas) pun Nur Jazlan gagal nak faham.

“Bukannya dokumen MoU ni dokumen rahsia ke apa (download di https://www.parlimen.gov.my/images/webuser/bkk/MOU.pdf).Mungkin dia tak baca sepenuhnya? Atau sengaja tak nak faham atas sebab-sebab tertentu.

“Untuk sekian kalinya, saya nak jelaskan yang MoU tak tamat hari ni (Perkara 2.1), wahai Nur Jazlan.
Dalam bab ‘gencatan politik’ tu pun, tugas dan peranan Pakatan Harapan sebagai Pembangkang juga ditulis dengan jelas (Perkara 9.1). Dokumen MoU mana yang Nur Jazlan baca ni? bidas Fahmi.

Semalam Nur Jazlan selaku Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Johor yang juga Ketua UMNO Bahagian Pulai mengumumkan 31 Julai ialah hari terakhir MoU yang ditandatangani pada 13 September 2021 antara kerajaan dan pihak pembangkang.

“Bagi saya, dengan berakhir Mou berkenaan bermakna kerajaan sudah bebas daripada belenggu pembangkang yang cukup bijak memanipulasinya untuk kepentingan politik mereka.

“Mana taknya, sepanjang tempoh MoU itu yang kononnya untuk ‘gencatan politik’, tapi pembangkang lebih galak menghentam kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Ismail Sabri Yaakob.

“Saya nampak pembangkang terutamanya parti-parti dalam PH sengaja memainkan pelbagai isu untuk memburukkan kerajaan Ismail Sabri,” catat beliau.

Malah kata Nur Jazlan lagi, PH juga mahu guna MoU itu untuk mereka terus memanjangkan hayat politik.

Ujarnya, mereka mahu terus pegang jawatan sebagai ahli Parlimen dan cukup takut kalau Ismail Sabri bubarkan Parlimen lebih awal.

“Pemimpin PH nampaknya sudah ketagih. Ketagih kuasa dan jawatan selepas pernah jadi kerajaan. Sebab itulah mereka cuba memanipulasi sebaiknya ruang MoU untuk menyusun gerakan bagi rampas balik Putrajaya pada PRU-15.

“Dalam mereka menghentam kerajaan, mereka juga turut membelasah UMNO/BN kerana Perdana Menteri adalah Naib Presiden UMNO,” katanya.